Bapa Qawwam: Teladan Para Nabi Mendidik Generasi Yang Memimpin.

Peranan seorang bapa bukan sahaja untuk memastikan ahli keluarga berada dalam keselamatan, kesejahteraan dan keperluan asas dipenuhi, tetapi untuk memastikan pewaris mereka menjadi generasi yang memimpin.

Cabaran mendidik generasi hari ini ialah melahirkan para pelapis yang mampu memimpin dan memikul tanggungjawab membangun umat. Seorang bapa perlu mempunyai visi yang jelas terhadap anak-anaknya agar mereka ini dapat mengambil posisi untuk memastikan umat manusia akan datang terus sujud pada Allah swt.

Dalam sejarah Islam, peranan para nabi sangat penting dalam membentuk keturunan yang mempunyai ciri-ciri kenabian dan kepimpinan. Nabi Ibrahim, Nabi Ya’qub, dan Nabi Zakaria adalah contoh-contoh yang jelas tentang bagaimana pendidikan dan tarbiah yang mereka berikan kepada anak-anak mereka melahirkan generasi yang beriman dan berkepimpinan.

Peranan Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim a.s. dikenali sebagai bapa para nabi kerana dari keturunannya lahir ramai nabi dan rasul. Peranannya dalam mendidik anak-anaknya sangat penting dalam memastikan kesinambungan risalah kenabian. Dalam surah al-Baqarah ayat 124, Allah swt berfirman:

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘Dan juga dari keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak berlaku bagi orang yang zalim.”

Nabi Ibrahim mendidik anak-anaknya dengan keteguhan tauhid dan ketaatan kepada Allah swt. Ini dapat dilihat dalam dialog yang cukup menakjubkan antara seorang bapa dan anaknya, Ismail a.s., ketika diperintahkan untuk menyembelihnya. Ismail dengan rela dan ikhlas menerima perintah Allah seperti yang diceritakan dalam surah as-Saffat ayat 102.

“Maka ketika anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata, ‘Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!’ Ia menjawab, ‘Hai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”

Peranan Nabi Ya’qub.

Nabi Ya’qub a.s. atau dikenali sebagai Israel yang bermaksud hamba Allah, adalah anak kepada Nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim. Beliau mempunyai dua belas anak yang dikenali sebagai Bani Israel. Salah seorang anaknya adalah Nabi Yusuf a.s., yang merupakan contoh pemimpin yang bijaksana dan bertakwa.

Nabi Ya’qub sangat berhati-hati dalam mendidik anak-anaknya agar mereka tetap mewarisi keimanan kepada Allah swt. Ini terbukti dalam wasiat terakhirnya kepada anak-anaknya:

“Apakah kamu menyaksikan ketika Ya’qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apa yang kamu sembah sepeninggalku?’ Mereka menjawab, ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, dan Ishak, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami (hanya) tunduk patuh kepada-Nya.” Surah Al-Baqarah : 133.

Peranan Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria a.s. adalah seorang nabi yang sangat taat dan sabar. Doa beliau yang tidak putus agar dikurniakan anak yang soleh membuktikan kesungguhan dalam melahirkan pewaris yang akan meneruskan risalah kenabian dan memimpin umat. Allah swt mengabulkan doanya dan menganugerahkan Nabi Yahya a.s. kepadanya. Nabi Zakaria a.s sangat tekun mendidik Nabi Yahya a.s dengan nilai-nilai kenabian agar dapat menggalas kepimpinan untuk terus menyeru umat.

Dalam surah ali-Imran ayat 38, Allah swt berfirman mengenai doa Nabi Zakaria:

“Kemudian Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan berkata, ‘Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.”

Nabi Yahya a.s. kemudian menjadi seorang nabi yang sangat teguh dalam memegang amanah risalah. Dalam surah Maryam ayat 12, Allah berfirman: “Hai Yahya, ambillah al-Kitab itu (Taurat) dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi dia masih kanak-kanak.”

Kesimpulan.

Ketiga-tiga nabi ini memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk keturunan mereka dengan ciri-ciri kenabian dan kepimpinan. Mereka mendidik anak-anak mereka dengan keteguhan iman, ketaatan kepada Allah, dan hikmah dalam kepimpinan. Ini membuktikan bahawa pendidikan dan tarbiah yang diberikan oleh seorang bapa kepada anak-anak mereka adalah kunci utama dalam melahirkan generasi yang bertaqwa dan menjadi pemimpin yang berwibawa.

Semoga kisah para nabi yang memiliki sifat Qawwam ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk mendidik anak-anak kita dengan nilai-nilai Islam yang sebenar, agar mereka juga menjadi generasi yang beriman dan berakhlak mulia, sehingga mampu memimpin umat pada masa akan datang.

Siti Radhiah Syahida Mohd Hamdan
Timbalan Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat