Kerajaan Perlu Tegas Larang Sumbangan dan Promosi Syarikat Arak di Sekolah.

ISMA konsisten dengan pendirian bahawa Malaysia sejahtera tanpa arak. Dua tahun lalu ISMA telah menggerakkan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang menuntut supaya tiada penjualan arak di kedai-kedai serbaneka yang berada dalam radius komuniti muslim. Alhamdulilah sambutan yang diterima oleh masyarakat amat baik. Malahan rata-rata masyarakat muslim sudah menyedari bahawa mereka mempunyai hak yang diperuntukkan dalam undang-undang untuk membantah penjualan arak di Kawasan mereka. Kita tidak mahu masyarakat terlalu mudah untuk mendapat akses kepada minuman keras ini.

ISMA melihat usaha ini sebagai satu jalan untuk menutup pintu-pintu keburukan kepada masyarakat, setelah beberapa kejadian yang menyayat hati akibat perbuatan pemandu mabuk.
Malangnya kerajaan tidak belajar daripada insiden tersebut, bahkan membiarkan promosi terhadap minuman keras dalam institusi pendidikan negara. Sedangkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membenarkan sumbangan daripada syarikat-syarikat berkenaan. Perkara ini sangat jelas.

Alasan yang diberikan oleh Dong Zhong dan Anthony Loke bahawa amalan ini adalah kebiasaan yang sudah berlaku selama ini tidak boleh dijadikan hujahan untuk justifikasi kepada pelanggaran jelas kepada sesuatu garis panduan yang melarang sumbangan yang berkaitan dengan syarikat arak dan minuman keras dalam mana-mana institusi pendidikan di negara ini.

Kerajaan mesti konsisten dan tegas dalam isu ini dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar garis panduan tersebut. Jangan perjudikan masa depan pendidikan anak-anak bangsa yang merupakan pemimpin masa depan negara dengan unsur-unsur yang merosakkan nilai agama, akhlak dan kesihatan.

Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat