Kajang, 31 Ogos 2024– ISMA Kajang dengan kerjasama Surau ar-Raudhah, Impian Makmur, telah berjaya menganjurkan Larian Santai Jom Sihat Merdeka 2024 pada hari Sabtu kelmarin.
Acara ini menyaksikan penyertaan seramai 150 orang peserta daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan dewasa serta melibatkan peserta daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India.
Para peserta telah mula berkumpul di tapak perlepasan larian seawal 6:45 pagi untuk sesi pendaftaran dan pemanasan badan. Larian santai sejauh 5KM dimulakan sekitar pukul lapan pagi, di mana pelbagai ragam dan kesungguhan peserta dapat dilihat sepanjang acara berlangsung.
Selain daripada larian, aktiviti khusus untuk kanak-kanak iaitu laman NAZIM juga diadakan di perkarangan surau dengan aktiviti permainan tradisional seperti boling kelapa, baling selipar dan lain- lain lagi.
Forum menarik bertajuk Membina Keluarga Berdaya Tahan turut diadakan sebagai nilai tambah kepada para peserta dan keluarga yang hadir.
Di kawasan perkarangan surau, terdapat gerai-gerai jualan makanan dan minuman yang telah memeriahkan suasana dengan tambahan adanya mini petting zoo memberikan peluang kepada para keluarga yang membawa anak-anak untuk bersantai.
Semua peserta yang berjaya menamatkan larian telah diberikan kalungan pingat di garisan penamat. Sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada semua peserta yang bertuah.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Dipertua ISMA Kajang iaitu Encik Zulhelmi bin Mohd Nasir kepada para pemenang mengikut kategori yang dipertandingkan. Beliau turut memberikan ucapan penutup sempena acara larian santai kali ini.
ISMA Kajang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Larian Santai Jom Sihat Merdeka 2024, khususnya kepada pengerusi dan AJK Surau Ar-Raudhah, Impian Makmur, para penaja program serta anggota RELA dan PDRM yang memastikan keselamatan peserta sepanjang acara berlangsung.