SERDANG, 22 April – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib, semasa ucapan perasmian Mesyuarat Agung Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-18 (MATK-18) Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menekankan hakikat penciptaan manusia sebagai khalifah yang memikul amanah besar dalam membina peradaban.
“Manusia tidak diciptakan untuk tujuan kecil atau sekadar pencapaian material, sebaliknya memikul agenda besar yang bahkan tidak sanggup dipikul oleh makhluk lain,” katanya di hadapan 300 orang aktivis PEMBINA di Auditorium Jurutera Radin Umar, Universiti Putra Malaysia (UPM) sabtu lepas.
Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan sebenar bukan terletak pada sijil, kerjaya atau kekayaan semata-mata, tetapi pada sejauh mana seseorang itu melaksanakan amanah sebagai khalifah dan menyumbang kepada umat.
Seruan tersebut mengajak para peserta untuk menilai semula definisi kejayaan dan mengangkat aspirasi hidup kepada tahap yang lebih tinggi dan bermakna.
Sebagai simbolik perasmian, satu gimik pembukaan telah dilaksanakan dengan penuh tertib, melambangkan pembukaan lembaran baharu kepimpinan PEMBINA yang lebih strategik dan berorientasikan masa hadapan.
Gimik tersebut bukan sekadar acara formal, tetapi membawa mesej bahawa gerakan ini sedang memasuki fasa pengukuhan dan peluasan peranan dalam membina kepimpinan nasional yang berwibawa.

