وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
[ الأعراف: 96]
Kini identiti negara Malaysia terutama ibu kota sedang diubah mengikut nafsu serakah kerakusan dan ketamakan elit pemodal dan golongan kapitalis. Atas sebab itu, mereka berlumba-lumba untuk menjadikannya sebagai hub hiburan serantau.
Malaysia adalah negara yang ada identiti dan sejarah panjangnya sebagai pusat tamadun Islam dan Melayu. Majoriti rakyatnya adalah Melayu Islam yang mahukan pembangunan negara selari dengan hubungan sejarahnya dan pembinaan jiwa berteraskan akhlak dan ilmu.
Apabila sesebuah kerajaan sudah mula kehilangan visi besar tentang pembinaan tamadun, maka hiburan biasanya akan dijadikan jalan paling mudah untuk merancakkan ekonomi bandarayanya.
Kuala Lumpur sedang dilakar semula menjadi sebuah bandar tanpa roh syariat di dalamnya. Bangunannya melangit tinggi tapi akhlaknya semakin runtuh. Malamnya terang dengan kilauan lampu konsert hiburan tapi jiwa masyarakat menjadi gelap.
Nilai Islam, adab budaya dan sosial masyarakat bagi mereka adalah sampah. Ia tak menjana apa-apa pulangan ekonomi. Kerana itu, ianya akan dipinggirkan dan hanya sesuai dalam muzium yang tak dikunjungi.
Mereka mahu asingkan kehebatan Islam dan keindahan amalan syariat Islam dan budaya Melayu daripada identiti Kuala Lumpur.
Saya mahu bertanya kepada ahli-ahli politik Islam dan para alim ulamak serta sahabat pendakwah di Kuala Lumpur khususnya;
Apakah selepas ini ukuran kejayaan Kuala Lumpur ialah jumlah konsert antarabangsa?
Apakah identiti bandar raya Muslim ini mahu dibina atas budaya hiburan malam dan pesta yang melalaikan dan merosakkan generasi?
Apakah negara sudah ketandusan idea besar untuk membina tamadun sehingga terpaksa bergantung kepada industri hiburan sebagai simbol kemajuan?
Kuala Lumpur mesti dipertahankan sebagai kota yang mempunyai identiti, maruah dan jiwa ketamadunan. Jangan cagarkan kota raya ini menjadi pasaran hiburan serantau untuk memenuhi kehendak industri dan kelompok berkepentingan yang mahu mengutip keuntungan jangka pendek semata-mata.
Malaysia memerlukan visi yang lebih besar daripada itu.
Negara ini memerlukan kepimpinan yang berfikir tentang pembinaan tamadun.
Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun yang tenggelam dalam hiburan dan kemewahan akhirnya akan melemah dari dalam sebelum runtuh sedikit demi sedikit.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA

