Melihat kepada suasana dalam negara yang semakin mencabar, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyeru seluruh umat Islam agar kembali kepada satu titik penyatuan yang menjadi asas kekuatan negara sejak sekian lama, iaitu “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”.
Ini adalah seruan kepada kesedaran tentang tanggungjawab umat Islam dan orang Melayu sebagai tonggak teras negara untuk memelihara agama, menjaga kestabilan tanah air dalam membina agenda masa depan lebih baik di negara ini untuk generasi akan datang.
Dalam konteks sejarah orang Melayu dan Islam di Malaysia, umat Islam mesti menganggap dirinya lebih layak memimpin di tanah air ini kerana Islam diturunkan untuk menjadikan kita memimpin bangsa lain dengan hidayah, dakwah dan rahmat Islam yang kita imani. Seperti Firman Allah SWT :
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
Maksudnya : Dialah yang telah mengutuskan RasulNya (Muhammad SAW) dengan hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam) supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama sekalipun orang-orang musyrikin membencinya
(Surah as-Saff:9)
Firman Allah SWT dalam surah as-Saff ini mengingatkan kita bahawa kemenangan Islam merupakan janji Allah SWT. Namun janji tersebut menuntut umat Islam memainkan peranan mereka dengan memimpin manusia dan membimbing kehidupan masyarakat berdasarkan petunjuk dan hidayah Islam dalam membina kekuatan dan mengutamakan kepentingan agama mengatasi kepentingan kelompok serta perpecahan yang merugikan.
Sepanjang sejarah umat Islam ianya telah membuktikan bahawa apa sahaja perpecahan yang berlaku akan melemahkan kekuatan umat Islam. Apabila umat itu berpecah, maka suara untuk mengangkat agenda Islam menjadi lemah.
Antara cabaran terbesar yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia hari ini adalah tiada satu kesepakatan yang jelas mengenai agenda besar orang Melayu dan umat Islam. Perbezaan dan perbalahan politik yang semakin mendalam telah menyebabkan tenaga, sumber, fokus dan perhatian banyak tertumpu kepada persaingan sesama sendiri sehingga isu-isu strategik yang menentukan masa depan umat Islam terpinggir daripada menjadi pembahasan utama.
Dalam keadaan ini, politik Melayu kelihatan kehilangan arah dan hala tuju. Perdebatan yang berlaku lebih banyak berkisar kepada persaingan parti, perebutan pengaruh dan survival tokoh-tokoh politik tertentu. Sedangkan realiti dan cabaran sebenar yang dihadapi oleh umat Islam jauh lebih besar daripada kepentingan mana-mana individu atau kelompok.
Isu dan persoalan utama berkaitan pendidikan nasional, penguasaan ekonomi, pemilikan aset strategik, pembangunan modal insan, penguasaan teknologi, perpaduan nasional, pembangunan keluarga, pembentukan generasi muda, pengukuhan institusi Islam dan kedudukan orang Melayu dalam arus perubahan global memerlukan satu kesepakatan merentas sempadan parti politik. Malangnya, sehingga hari ini belum wujud kesatuan tindakan yang benar-benar mampu menggembleng seluruh kekuatan umat ke arah tujuan itu.
Pada masa yang sama, masyarakat Cina dilihat lebih tersusun dalam memperjuangkan kepentingan komuniti mereka. Walaupun ada persaingan politik antara parti-parti yang mewakili masyarakat Cina seperti MCA dan DAP, terdapat persamaan dalam beberapa agenda yang dianggap penting bagi komuniti tersebut. Kedudukan DAP yang dominan dengan kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat serta penglibatan pemimpinnya dalam pelbagai posisi strategik kerajaan telah meningkatkan lagi pengaruh politik mereka dalam proses pembentukan dasar negara.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa dasar dan cadangan berkaitan pembangunan bandar, warisan komuniti serta pentadbiran bandar telah menjadi perbahasan awam yang mencerminkan peningkatan pengaruh politik dan dasar kumpulan tertentu. Pada masa yang sama, pelbagai pertubuhan masyarakat seperti Dong Zong, Hua Zhong dan ACCCIM terus memainkan peranan aktif sebagai kumpulan pendesak yang memperjuangkan kepentingan komuniti mereka melalui saluran pendidikan, ekonomi dan juga wacana awam.
Dalam hal ini, orang Melayu dan umat Islam perlu mengambil iktibar bahawa perpecahan yang berpanjangan hanya akan melemahkan kedudukan mereka dalam negara. Seruan “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat” bukanlah seruan perkauman, apatah lagi seruan untuk menafikan hak mana-mana kaum. Sebaliknya, ia adalah seruan agar umat Islam kembali membina kesatuan berdasarkan kepentingan agama, negara dan masa depan generasi akan datang.
Kesepakatan inilah yang akan menjadi asas kepada pembinaan kuasa nasional Malaysia. Negara yang kuat memerlukan masyarakat majoriti yang bersatu. Negara yang berdaulat memerlukan rakyat yang mempunyai keyakinan terhadap identiti dan peradabannya sendiri.
Oleh itu, keutamaan negara mestilah tertumpu kepada usaha memperkukuhkan kuasa nasional secara menyeluruh merangkumi kekuatan politik, ekonomi, pendidikan, teknologi, ketenteraan, perpaduan sosial, jati diri kebangsaan dan modal insan. Semua komponen ini perlu digembleng di bawah satu agenda nasional yang jelas dan konsisten.
Masa depan Malaysia tidak ditentukan oleh kekayaan sumber semata-mata, tetapi oleh kemampuan kepimpinan dan rakyatnya untuk membina sebuah negara yang mempunyai daya tahan dan daya saing. Hanya dengan kuasa nasional yang kukuh, Malaysia mampu mempertahankan kedaulatannya dan memainkan peranan yang lebih bermakna dalam membentuk masa depan rantau dan dunia.
Masa depan Malaysia tidak boleh diserahkan kepada arus perubahan global semata-mata. Ia mesti dibentuk oleh rakyatnya sendiri. Dan bagi umat Islam di Malaysia, langkah pertama ke arah pembinaan negara yang kuat ialah mengembalikan kesatuan umat serta meletakkan kepentingan agama dan negara mengatasi kepentingan kelompok dan perpecahan politik.
Kerana dengan kesatuan umat, Malaysia mampu membina kuasa nasional yang lebih kukuh. Dengan kedaulatan Islam, negara mempunyai asas nilai yang teguh. Dan dengan kedua-duanya, Malaysia berupaya muncul sebagai sebuah negara yang kuat, maju, dihormati dan berdaulat di pentas dunia.
Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA


