Tahun Hijri yang bakal berakhir membawa bersama segala catatan amal kita yang baik mahupun yang buruk. Saat-saat seperti ini sewajarnya menjadi titik muhasabah, bukan sekadar perubahan tarikh dalam kalendar.
Walaupun rekod amal sebenar diangkat pada bulan Syaaban setiap tahun, namun, peralihan tahun Hijri tetap menjadi salah satu noktah penting bagi seorang mukmin untuk berhenti seketika, membuka semula “buku diri”, dan bertanya: adakah tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya?
Allah SWT berfirman :
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ · وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Maksudnya : Maka sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
(Surah al-Zalzalah 99:7-8:)
Ayat ini menjadi peringatan bahawa setiap perbuatan, sekecil mana sekalipun, tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah. Misalnya, solat yang dijaga, sedekah yang diberi, ilmu yang dipelajari dan diamalkan, hubungan silaturahim yang dipelihara – semua ini adalah simpanan yang akan kekal walau jasad telah kembali kepada tanah.
Firman Allah SWT :
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً
Maksudnya : “Sesiapa yang beramal soleh, baik lelaki maupun perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik…”
(Surah an-Nahl 16:97)
Allah SWT tidak pernah mensia-siakan walau secebis kebaikan, sekecil mana sekalipun pada pandangan manusia.
Kelalaian musuh yang Senyap
Namun, kelalaian sering menjadi tabiat yang tidak disedari. Masa yang berlalu tanpa zikir, lidah yang leka dari membaca al-Quran, hati yang jauh dari mengingati mati, serta kesibukan dunia yang menenggelamkan keutamaan akhirat, ini semua adalah kerugian yang sebenar.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai darinya: kesihatan dan masa lapang.”
Allah SWT juga berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat).”
(Surah al-Hashr 59 :18)
Pecutan terakhir
Manakala Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amalan itu dinilai pada penghujungnya (akhirnya).”
Hadis ini membawa pengajaran besar dalam konteks menutup lembaran tahun. Walaupun seseorang telah beramal banyak sepanjang tahun, jika penghujungnya rosak, boleh menjejaskan keseluruhan. Sebaliknya, walaupun seseorang pernah lalai, jika dia menutupnya dengan taubat dan amal soleh, Allah boleh mengangkat darjatnya.
Justeru, detik-detik terakhir dalam tahun Hijri ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin. Bukan sekadar menanti pertukaran tarikh, tetapi menjadikan saat ini sebagai “khatimah” yang baik bagi catatan setahun.
Amalan penutup tahun
Berikut beberapa amalan yang boleh dijadikan penutup tahun yang baik, sejajar dengan tuntutan agar “khatimah” kita sentiasa diperbaiki:
1. Taubat dan istighfar – menutup tahun dengan memohon ampun atas segala kesilapan yang lalu
2. Solat sunat taubat – dua rakaat khusus sebagai tanda kembali kepada Allah
3. Sedekah – sebagai penutup yang membersihkan harta dan hati
4. Membaca al-Quran – terutama surah-surah yang berkaitan muhasabah seperti surah al-Asr dan al-Hashr
5. Doa akhir tahun – memohon keampunan atas segala dosa setahun dan perlindungan daripada mengulangi dosa yang sama
6. Menjalin semula silaturahim yang terputus – sebagai “khatimah” yang baik dalam hubungan sesama manusia
7. Memperbanyak zikir dan doa pada hari-hari terakhir, kerana ia mencerminkan keadaan hati sebelum bertemu sesuatu yang baru
Detik peralihan tahun adalah saat terbaik untuk bermuhasabah. Setiap mukmin yang berakal sewajarnya bertanya tentang azam tahun lepas, adakah sudah tercapai? Adakah dosa-dosa yang lalu telah ditaubati? Dan apakah persediaan untuk bertemu Allah SWT semakin baik atau semakin jauh?
Seperti Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Saidina Umar r.a :
“Hisablah (nilailah) diri kamu sebelum kamu dihisab (di akhirat), dan timbanglah (amalan) diri kamu sebelum ditimbang.”
Membuka lembaran baharu dengan amal soleh
Tahun yang baharu bukan sekadar nombor yang bertukar, tetapi peluang kedua yang Allah SWT kurniakan. Manfaatkanlah dengan memperbanyak amal soleh, memperbaiki perbuatan yang lalu, dan berazam untuk tidak mengulangi kelalaian yang sama.
Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk (menerima taubat) orang yang berbuat dosa pada siang hari, dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk orang yang berbuat dosa pada waktu malam, sehingga terbit matahari dari barat.”
Moga-moga setiap lembaran yang ditutup menjadi saksi kebaikan, dan setiap lembaran yang dibuka menjadi permulaan yang lebih baik di sisi Allah SWT.
Ustazah Wafa binti Abd Halim
Timbalan Tarbiyah Biro Luar Negara ISMA Pusat


