BANGI, 13 Julai – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat, menyeru pimpinan mahasiswa Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA) agar memanfaatkan tempoh pengajian di universiti untuk membina keupayaan kepimpinan, penguasaan ilmu dan kemahiran teknologi sebagai persediaan memikul amanah dakwah untuk memimpin masyarakat pada masa hadapan.
“Tanggungjawab dakwah merupakan satu amanah besar buat generasi muda yang akan menentukan masa depan umat, justeru mahasiswa perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan kecemerlangan akademik, malah pelbagai kompetensi yang diperlukan untuk menghadapi cabaran semasa.
“Selain mencapai kecemerlangan akademik, mahasiswa perlu menguasai kemahiran kepimpinan, disiplin berorganisasi, pengurusan dan hubungan luar, penguasaan ilmu merentas pelbagai bidang, keupayaan membuat keputusan berasaskan data serta penguasaan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika menyampaikan amanat kepada pimpinan mahasiswa PEMBINA dari universiti awam dan swasta seluruh Malaysia sempena Muzakarah & PIMPIN 2026.
Menurut beliau, gerak kerja dakwah pada hari ini memerlukan para da’i yang bukan sahaja memahami ajaran Islam, malah mampu mengenali realiti masyarakat, mengikuti perkembangan teknologi serta menawarkan penyelesaian yang menyeluruh terhadap pelbagai cabaran zaman berdasarkan analisis yang mendalam.
Beliau turut mengingatkan para mahasiswa supaya terus istiqamah dalam perjuangan dakwah kerana setiap pengorbanan yang dilakukan di jalan Allah SWT tidak akan disia-siakan. Bagi menguatkan semangat para peserta, beliau membawakan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa pada akhir zaman, mereka yang tetap berpegang teguh kepada agama ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran akan memperoleh ganjaran pahala seperti lima puluh orang daripada para sahabat kerana besarnya ujian yang dihadapi.
Mengakhiri ucapannya, Ustaz Shuhaib mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, keikhlasan dan keteguhan kepada seluruh da’i muda dalam memikul amanah membina generasi serta mengangkat martabat ummah.


