Network School di Forest City, Johor telah menarik perhatian ramai rakyat Malaysia. Dilaporkan bahawa sebuah komuniti pembelajaran dan teknologi yang menghimpunkan individu dari pelbagai negara dengan fokus kepada inovasi, keusahawanan dan jaringan global.
Konsep “Network State” yang dikaitkan dengan pengasas Network School, Balaji Srinivasan, turut menimbulkan pelbagai pertanyaan. Adakah ini idea baharu dalam dunia teknologi atau yang lebih utama bagaimana kesannya terhadap konsep negara, identiti nasional dan kedaulatan sesebuah negara?
Sebagai rakyat Malaysia, kita menyokong pembangunan, teknologi dan pelaburan yang membawa manfaat kepada negara. Namun, kemajuan tidak boleh diukur dengan mengabaikan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara dan identiti Malaysia.
Apabila sebuah projek membawa nama teknologi, inovasi dan masa depan, kita menyambutnya dengan terbuka. Namun, apabila melibatkan identiti, pengaruh luar dan kedaulatan negara, rakyat berhak mendapatkan penjelasan.
Selain itu, terdapat persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport atau kewarganegaraan kedua, serta promosi projek ini oleh pempengaruh yang dilihat pro-Israel. Perkara ini perlu dinilai berdasarkan fakta dan diteliti secara menyeluruh oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada unsur kepentingan asing yang boleh menjejaskan keselamatan, kepentingan rakyat dan kedaulatan Malaysia.
Malaysia sentiasa terbuka kepada dunia, tetapi setiap pihak yang datang dan beroperasi di negara ini wajib menghormati Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, nilai masyarakat dan identiti Malaysia. Sebarang bentuk pengaruh luar yang boleh mengubah asas negara perlu diberikan perhatian serius.
Justeru, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang telus, menyeluruh dan berlandaskan undang-undang agar rakyat mendapat kepastian serta memastikan setiap aktiviti di Malaysia benar-benar selari dengan kepentingan nasional.
Malaysia tidak perlu menjadi negara lain untuk mencapai kejayaan. Kita mampu membina masa depan yang hebat dengan acuan sendiri serta menjadi sebuah negara yang unggul, kuat dan berdaulat tanpa menggadaikan jati diri.
Kemajuan sebenar bukan hanya fasal teknologi dan ekonomi, tetapi juga tentang mempertahankan nilai, identiti dan kedaulatan negara. Malaysia terbuka kepada kemajuan, tetapi kedaulatan dan jati diri negara mesti terus dipelihara.
Nuratikah binti Jamaluddin
Timbalan Pengarah KRIM Johor Bahru


