Sambutan Maulidur Rasul jadi Platform Pengupayaan Komuniti Residensi Adelia 3

BANGI, 28 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul Residensi Adelia 3 bukan sekadar program menghidupkan syiar Islam, malah menjadi platform pengupayaan komuniti apabila keseluruhan penganjuran digerakkan sendiri oleh penduduk setempat.

Program bertemakan “Menghidupkan Syiar, Memperkukuh Ukhuwah” yang berlangsung selama dua hari itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sekitar 200 hingga 250 orang penduduk.

Menurut Pengerusi Residensi Adelia 3, Wafiq Azman, penganjuran program berkenaan merupakan salah satu usaha untuk mengupayakan komuniti agar keluar daripada sikap individualistik dan terlibat secara aktif dalam aktiviti bersama.

“Lebih daripada sekadar sambutan tahunan, program ini membawa mesej bahawa komuniti yang kuat adalah komuniti yang bergerak bersama.

“Melalui penglibatan langsung penduduk, program ini menjadi ruang untuk membina shared vision, menggalakkan libat urus dan memobilisasi potensi penduduk demi kepentingan bersama,” katanya yang juga Ahli ISMA Bangi.

Penduduk sebagai penggerak program

Keistimewaan sambutan pada tahun ini adalah program tersebut 100 peratus digerakkan oleh komuniti penduduk Residensi Adelia 3 sendiri, tanpa kebergantungan kepada pihak luar.

Penglibatan penduduk dalam merancang dan melaksanakan program mencerminkan usaha pengupayaan komuniti yang sedang dibina secara sistematik.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah tayangan filem animasi Muhammad Utusan Terakhir, Perarakan Maulid yang diserikan dengan persembahan kompang oleh penduduk cilik, tazkirah bertajuk “Muhammad as a Role Model”, kuiz, penyampaian hadiah serta jamuan ringan.

Menurut Wafiq, penglibatan penduduk dalam menjayakan program berkenaan membuktikan bahawa komuniti mampu bergerak, merancang dan melaksanakan aktiviti apabila wujud kehendak serta visi yang dikongsi bersama.

“Elemen tayangan filem animasi sirah Nabi serta persembahan kompang oleh penduduk cilik turut memberikan kelainan pada program, sekali gus membuktikan bahawa komuniti mampu bergerak, merancang dan melaksanakan aktiviti apabila wujud kehendak serta visi yang dikongsi bersama,” katanya.

Maulidur Rasul sebagai titik mula

Pada masa yang sama, sambutan Maulidur Rasul dijadikan platform untuk menanam kecintaan kepada Rasulullah SAW serta sunnah Baginda dalam kehidupan bermasyarakat.

Program tersebut bukan sekadar memberi ruang kepada penduduk untuk bersama-sama menghidupkan syiar Islam, tetapi turut membuka ruang kepada penglibatan langsung komuniti dalam menjayakan aktiviti bersama.

Wafiq berkata, program itu merupakan manifestasi keinginan komuniti untuk berubah dan bergerak bersama.

“Program ini bukan sekadar sambutan Maulidur Rasul, tetapi manifestasi komuniti yang mahu berubah. Apabila penduduk sendiri yang merancang, melaksana, dan menyokong program ini, ia membuktikan bahawa kita mampu menyelesaikan isu kita sendiri apabila kita bergerak bersama dengan visi yang sama,” katanya.

Tambah Wafiq lagi, usaha pengupayaan komuniti melalui program tersebut diharapkan dapat menjadi sebahagian daripada usaha membina komuniti Residensi Adelia 3 yang lebih aktif dalam menggerakkan potensi penduduk serta menangani isu dan permasalahan setempat secara sistematik dan berterusan.

Secara keseluruhannya, sambutan Maulidur Rasul Residensi Adelia 3 memperlihatkan bagaimana sebuah program keagamaan boleh menjadi wadah untuk mengukuhkan ukhuwah, membina kebersamaan dan mengupayakan penduduk sebagai penggerak komuniti.

Scroll to Top