Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menerima kunjungan delegasi Biro Politik HAMAS yang diketuai oleh Muhammad Taher al-Nunu, Penasihat Khas kepada Ketua Biro Politik HAMAS, Dr Khalil al-Hayya, dan disambut oleh Pemangku Amir ISMA, Ustaz Rushdan Abdul Halim.

Pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu memberi ruang kepada pimpinan ISMA mendapatkan perkongsian secara langsung mengenai perkembangan semasa di Palestin bagi memahami cabaran dan keperluan rakyat Palestin serta perkembangan serantau yang memberi kesan kepada perjuangan mereka.
Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkasa sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin secara berterusan dan berkesan, termasuk peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat sivil di Malaysia dalam mendukung perjuangan tersebut.


Sebagai sebuah gerakan Islam, ISMA memperbaharui tekad dan komitmen untuk terus memperteguhkan pendirian nasional Malaysia terhadap Palestin, berteraskan keyakinan bahawa Palestin adalah isu ummah dan agenda negara. ISMA akan terus menggembleng kekuatan masyarakat serta memastikan perjuangan Palestin kekal hidup dalam kesedaran umat secara berpanjangan.
Pertemuan ini turut disertai Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat dan Perunding Kanan Antarabangsa dan Budaya ISMA, Ustaz Salman Al-Farisi Selamat.
Semoga pertemuan ini memperkukuh usaha bersama semua pihak dalam mendukung hak rakyat Palestin serta perjuangan pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

