SHAH ALAM, 26 Ogos 2026 – Program “Jejak Rasul, Jiwa Merdeka” anjuran ISMA Shah Alam melalui Biro Keluarga dan Masyarakat dan Kelab Anak-Anak Hebat NAZIM berjaya menggabungkan aktiviti riadah bersama penghayatan sejarah, sirah dan pembentukan jati diri dalam kalangan anak-anak serta keluarga.

Program yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu diadakan dengan kerjasama Maahad Tahfiz Al-Fateh dan melibatkan aktiviti pendakian Bukit Sapu Tangan, Shah Alam setinggi kira-kira 204 meter melalui laluan Taman Botani Negara Shah Alam.
Menurut Suria Azhar bin Amirrudin, bertemakan “Jejak Rasul, Jiwa Merdeka”, program ini mengambil kesempatan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan untuk mengajak anak-anak memahami erti perjuangan, pengorbanan dan kebebasan melalui pendekatan yang dekat dengan pengalaman mereka.
“Pendakian bukit dijadikan sebagai simbol perjalanan perjuangan. Kesukaran dan kepenatan ketika mendaki dikaitkan dengan cabaran yang dilalui Rasulullah SAW bersama para sahabat dalam usaha membina masyarakat Islam di Madinah.


“Ketika tiba di puncak bukit, para peserta diajak menghayati kegembiraan kejayaan dan kegemilangan umat Islam dalam sejarah, khususnya perkembangan ilmu dan peradaban Islam pada Zaman Keemasan Islam. Sebaliknya, perjalanan menuruni bukit digunakan sebagai pengajaran tentang kemerosotan dan kejatuhan sesuatu peradaban apabila asas kekuatan umat semakin lemah,” katanya yang merupakan ketua Biro Dakwah ISMA Shah Alam.
Program turut memperkenalkan kepada anak-anak konsep Maratib Amal, iaitu susunan tahap pembinaan dan perjuangan yang dikaitkan dengan gagasan Imam Hasan al-Banna. Peserta didedahkan kepada kepentingan memulakan perubahan daripada pembentukan individu Muslim, diikuti keluarga, masyarakat dan seterusnya pembinaan kehidupan bernegara serta usaha membangunkan peradaban.
Pendekatan tersebut menekankan bahawa pembinaan umat tidak berlaku secara segera, sebaliknya memerlukan proses yang tersusun dan bermula daripada pembentukan peribadi yang baik.
Selain aktiviti fizikal, program ini turut memberi ruang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta membina pengalaman bersama dalam suasana luar kelas yang lebih santai dan mencabar.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat membentuk generasi muda yang bukan sahaja aktif dan sihat, tetapi mempunyai kesedaran terhadap sejarah, jati diri, nilai perjuangan serta tanggungjawab mereka terhadap keluarga dan masyarakat.
Semoga anak-anak yang menyertai “Jejak Rasul, Jiwa Merdeka” membesar sebagai generasi yang berdisiplin, berjiwa merdeka dan mampu menjadi pemimpin unggul pada masa hadapan, insya-Allah.

