Bulan Oktober diisytihar sebagai bulan al-Quran di seluruh Malaysia bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 tahun. Bulan al-Quran ini mengajak kita bersama-sama untuk merenung kembali bagaimanakah al-Quran benar-benar mengubah hidup. Sentuhan al-Quran melalui pembacaan dan tadabbur sepatutnya mengubah kita menjadi Muslim yang lebih baik, bahkan melimpah kesannya pada masyarakat.
Kerana itu Allah SWT berfirman:
إنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَوْمٍ حَتّى يُغَيِّرُوا ما بِأنْفُسِهِمْ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah akan apa yang ada pada suatu kaum sehingga mereka itu mengubah apa yang ada di sisi mereka”
(al-Ra’d 13 : 11)
Imam Al-Qurtubi mentafsirkan ayat di atas dengan menekankan bahawa Allah SWT tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga berlaku perubahan daripada mereka sendiri, sama ada perubahan itu dilakukan oleh mereka, oleh orang yang mengurus dan memerhatikan urusan mereka, atau oleh sebahagian daripada mereka kerana suatu sebab tertentu. Sebagaimana Allah mengubah nasib orang-orang yang mengalami kekalahan dalam Perang Uhud disebabkan perubahan yang dilakukan oleh para pemanah terhadap diri mereka sendiri (iaitu tidak mematuhi arahan Rasulullah SAW).
Dapat difahami daripada ayat di atas bahawa Allah SWT menyebut perubahan kaum itu adalah suatu yang signifikan dan menjadi salah satu tujuan kehidupan seorang Muslim. Hal ini bermakna, perubahan kaum atau masyarakat keseluruhannya mesti bermula dengan perubahan individu-individu Muslim.
Dengan asbab perubahan diri kita sendiri apabila mentadabbur al-Quran, akan turut membawa perubahan pada masyarakat sekeliling. Zahirnya mungkin kita nampak perubahan pada diri kita dari sudut ibadah, akhlak, sahsiah, muamalah dan sebagainya namun di sana Allah menjanjikan bahawa masyarakat akan turut berubah ke arah yang lebih baik. Tetapi perubahan masyarakat itu bersyarat, iaitu dengan berubahnya diri kita ke arah yang lebih baik.
Masyarakat sebagai agen perubahan
Menarik di sini bagaimana Allah SWT meletakkan hambaNya sebagai agen perubahan kepada masyarakat. Allah SWT Maha Berkuasa yang mampu untuk merubah terus masyarakat menjadi yang terbaik namun di sana Allah SWT mahu kita berperanan dan mengambil tanggungjawab dalam membawa arus perubahan ini.
Manhaj Islam atau cara hidup Islam yang difahami daripada al-Quran hakikatnya membawa perubahan ataupun dikenali sebagai taghyir secara syumul (menyeluruh) yang menyentuh setiap aspek kehidupan. Imam Hasan Al Banna meletakkan asas rukun baiah yang pertama iaitu rukun al-fahmu (faham) bahawa Islam itu sistem yang menyeluruh yang meliputi seluruh mazohir (aspek) kehidupan keseluruhannya.
Sungguh ajaib bagaimana Allah SWT menurunkan al-Quran secara berfasa kepada Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga mengubah kehidupan mereka daripada jahiliyah kepada tunduk dan patuh pada Islam. Mengapakah perubahan signifikan itu tidak juga dinikmati generasi kita pada hari ini biarpun al-Quran telah lengkap bersama terjemahan serta tafsir sekalipun?
Asy-Syahid Sayyid Qutb menjawab kemusykilan ini dalam kitabnya Petunjuk Sepanjang Jalan (Maalim Fit Tariq) bahawa generasi sahabat hakikatnya mempelajari al-Quran adalah untuk melaksanakan dan mengamalkannya (منهج التلقي للتنفيذ والعمل), sebaliknya generasi kita mempelajari al-Quran untuk Manhaj menerima al-Quran untuk tujuan kajian dan kenikmatan intelektual semata-mata (منهج التلقي للدراسة والمتاع).
Seharusnya, pengajaran al-Quran tidak terbatas pada ilmu fiqh semata-mata mahupun sirah dan sebagainya, sebaliknya keseluruhan makna mesej al-Quran sepatutnya diadun menjadi tindakan kita yang benar dalam langkah-langkah kehidupan.
Itulah jurang yang besar antara generasi kita dan para sahabat. Mungkin kehidupan kita sudah awalnya terisi dengan rutin harian di sebalik kesibukan, namun para sahabat menyelami makna al-Quran dan menghidupkannya dalam kehidupan seharian. Sahabat memandang dunia pada neraca al-Quran, adapun kita memandang dunia dari sudut akal dan nafsu yang menyebabkan kita melupakan peranan Al-Quran dalam mengatur kehidupan duniawi.
Lihatlah evolusi masyarakat yang terkesan dengan al-Quran di zaman sahabat pada awalnya disapa dengan ayat-ayat tauhid yang akhirnya membawa kepada evolusi masyarakat membina daulah (negara) pertama dalam Islam iaitu Madinah. Muhasabah kita pada hari ini apabila kita membaca Al-Quran, ada rasa nak tegakkan daulah Islamiyah?
Ataupun kita merasakan pada hari ini telah tertegaknya daulah kerana keadaan Malaysia aman damai yang mana orang Islam boleh beribadah dan bermuamalah secara Islam? Namun, tidak sedarkah kita, negara-negara umat Islam ini dicatur musuh Islam supaya selesa dengan keadaan sedia ada selagimana tidak mencabar hegemoni kuasa asing? Palestin sendiri yang berjiran dengan negara-negara Islam pun masih lagi tidak merdeka dari musuh-musuh. Bagaimana kita pula tiba-tiba merasa selesa keadaan sedia ada tanpa membuat perubahan yang sebenar pada ummah.
Kita mungkin pandai membaca al-Quran, khatam beberapa kali, mahir beberapa bacaan qiraat, tetapi belum tentu kita mampu memahami dan melaksanakannya seperti para sahabat menjasadkan makna Al-Quran dalam hidup mereka.
Al-Quran tidak hadir terbang menyapa manusia-manusia untuk berubah. Tetapi, memerlukan rijal atau manusia yang memahami al-Quran untuk menjadi medium dakwah menyampaikan mesej al-Quran pada manusia sekeliling. Jadilah kita rijal al-Quran yang bukan hanya membaca dan menghafal al-Quran malah tegar menyampaikannya dalam dakwah dan tarbiyah.
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA


