Permainan politik yang tidak tahu hala tuju yang jelas. Beginilah hakikat yang berlaku dalam parti-parti politik Melayu Islam. Ibarat tangan kanan menyeru kepada penyatuan ummah, tangan kiri pula menyeru kepada perseteruan ummah.
Inilah yang berlaku, natijah akhir semuanya tunduk kepada parti, bukan Islam. Satu masa berseru untuk penyatuan ummah, di waktu yang lain berseru kepada perseteruan ummah. Tiada tanda akan berakhir, kerana ianya baru saja bermula.
Segala-galanya seolah-olah berputar mencari helah untuk menjelaskan mengapa perlu bersatu dengan parti-parti Melayu tertentu, dan mengapa pula perlu bermusuhan dengan parti-parti Melayu Islam yang lain. Namun, dalam masa yang sama, tetap akur dan tunduk kepada parti bukan Islam.
Inilah hakikat yang terus berulang tanpa kesudahan. Semangat persaudaraan Islam semakin terhakis, ditelan kerakusan mempertahankan kuasa dan kepentingan politik.
Suruhan syarak konsep Al Wala’ wal Barra’ diketepikan. Salam persaudaraan Islam bukan jadi tunjang kehidupan. Mungkin dirasakan hukum haram bertelingkah dan berseteru sesama muslim dikecualikan kerana mereka di alam politik.
Ada parti Melayu Islam yang dianggap seteru mesti dilenyapkan dalam arena politik. Kami saja berhak hidup bersama kumpulan kami. Suasana ini perlu dibersihkan. Jika dibiarkan bangsa Melayu akan hilang kuasa dan pengaruh di tanah air kita kerana keburukan kita sendiri. Barisan kepimpinan baru yang lebih matang dan berwibawa perlu mengisi segera kecacatan ini sebelum kejatuhan kuasa politik Melayu di tanah watan Malaysia. Kepimpinan lama sudah ketandusan idea yang bernas, masih berkitar dalam kitaran yang sama.
Ustaz Sharipudin Ab Kadir
Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA


