ALOR SETAR, 2 November – Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dilazimi, tetapi perlu difahami, dihayati serta diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan dalam kehidupan seharian.
Demikian antara penekanan Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa, Murabbi Ummah ISMA Alor Setar, ketika menyampaikan Kuliah Dhuha bertemakan Tafsir Surah-Surah Pilihan di kediaman beliau di Taman Uda, Alor Setar, pada pagi Jumaat lalu.
Dalam kupasan Surah al-Mulk, beliau menjelaskan bahawa penghayatan al-Quran seharusnya membina keyakinan yang teguh kepada Allah SWT, menyuburkan semangat memperjuangkan agama serta melahirkan manusia yang memahami hakikat kehidupan dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
Beliau turut mengingatkan bahawa Allah SWT merupakan Pemilik dan Penguasa mutlak seluruh alam, manakala manusia hanyalah khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dan memakmurkan bumi berpandukan ketetapan-Nya.
Kemudian, Ustaz Fisol mengulas ayat kedua Surah al-Mul. Beliau menekankan bahawa Allah SWT menciptakan kehidupan dan kematian untuk menguji manusia, siapakah yang paling baik amalannya. Justeru, ukuran kejayaan seseorang bukan semata-mata pada banyaknya amalan, tetapi turut bergantung kepada keikhlasan niat dan ketepatan pelaksanaannya menurut tuntutan agama.
Kesedaran bahawa seluruh kehidupan dan kematian berada dalam kekuasaan serta ketentuan Allah seharusnya melahirkan insan yang lebih bertakwa, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh melakukan kebaikan.
Kuliah tersebut berlangsung bersempena Program HARMONI ISMA Alor Setar Siri 2/2026, yang menghimpunkan ahli, aktivis serta rakan-rakan ISMA Alor Setar dalam usaha memperkukuh ukhuwah, kefahaman Islam dan kesatuan fikrah.
Pengisian ini juga selari dengan aspirasi ISMA dalam membina Ummah Fadhilah, iaitu masyarakat yang menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan, memiliki jati diri Muslim yang kukuh serta mampu memainkan peranan sebagai khalifah yang membawa kebaikan kepada agama, masyarakat dan watan.


