Abaikan Pendapat Kata Islamofacists, Jika Sekat Penjualan Arak

BANGI, 28 Feb – Sekretariat Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak menyambut baik tindakan berani pihak pentadbiran dan pengurusan Kelab Shah Alam Selangor yang telah mengharamkan penjualan arak di kelab tersebut.

Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak anjuran Ikatan Muslimin Malaysia antara lain menyeru kepada pihak berkuasa tempatan supaya mengehadkan kebolehcapaian pembelian arak dalam kalangan masyarakat. 

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Mohd Noor Azib Asmangi berkata tindakan ini sangat tanda pihak pengurusan peka dengan tuntutan agama dan budaya setempat.

“Cukup-cukuplah selama ini kita meniru budaya Barat dan bermegah dengan minuman beralkohol seolah-olah itulah prestige atau nampak unggul,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Noor Azib menyeru kepada semua pihak atau pihak berkuasa supaya tidak terpengaruh dengan desakan puak-puak liberal seperti Siti Kasim dan seumpanya yang mengatakan pengharaman arak itu tindakan Islamofacist dan masuk campur kehidupan orang.

“Sebenarnya penggunaan arak inilah yang telah mencampuri kehidupan orang ramai. Negara kita ialah negara Islam dan budaya Melayu dan adat ketimuran menjadi teras. Penggunaan arak secara berleluasa di merata-rata tempat telah merosakkan budaya negara kita,” katanya lagi.

Kempen yang bermula 5 Februari hingga 5 Mac turut disokong pertubuhan bukan kerajaan yang lain seperti Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA),   Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat