Apa makna sebenar di sebalik sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-63 yang kita sambut pada hari ini? Mari kita ikuti sesi wawancara bersama Dr Osman Rasip, Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur.
1) Apakah makna kemerdekaan yang sebenar pada pandangan Dr Osman?
Pada saya, kemerdekaan (istiklal) adalah memilik kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan. Dalam Al-Quran, surah Az-Zariyat ayat 56, memberikan kefahaman kepada kita bahawa kemerdekaan adalah kebebasan manusia untuk menikmati kehidupan sesuai fitrahnya, selaras dengan matlamat penciptaannya, selain daripada kebebasan daripada penjajah dari segi bangsa, fikiran dan kebudayaan. Saya suka merujuk kata-kata daripada Pendeta Za’ba yang mengatakan merdeka adalah berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan kepada kepercayaan cerdik yang menghidup dan menyuburkan, daripada iktikad yang serong kepada iktikad yang benar dan lurus. Bagi saya, pengertian ini amat dekat dan memberikan makna yang harus kita renungi.
2) Apakah perbezaan golongan terdahulu dengan generasi sekarang dalam memaknai kemerdekaan?
Generasi terdahulu yang merasai penindasan, hidup dalam kekejaman penjajahan kemudian berjuang mencapai kemerdekaan sudah pasti mengalami perbezaan perasaan dan pengalaman hidup dalam tempoh penjajahan dan selepas kemerdekaan. Mereka semestinya dapat merasakan nikmat bebas merdeka dan merasa lebih lagi untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan tersebut.
Berbeza dengan generasi sekarang, mereka hidup dalam keadaan serba mudah, bahkan lupa tentang pengorbanan generasi terdahulu dan kurang menghayati makna kemerdekaan.
3) Mengapakah isu-isu yang mencemar ketinggian identiti negara seperti bendera terbalik, penghinaan terhadap jata negara dan sebagainya semakin timbul kebelakangan ini?
Ya. Saya berasa amat sedih melihat akan perkara ini. Rasa hormat kepada simbol dan kehormatan negara telah tiada. Bahkan segelintir warganegara kita memberi kesetiaan kepada negara lain. Saya yakin, punca utamanya adalah berakar daripada sistem pendidikan vernakular dan persendirian yang tidak menekankan aspek kesetiaan kepada negara Malaysia serta semangat patriotisme selain daripada campur tangan anasir-anasir perosak yang menghalang perpaduan nasional.
4) Apakah rumus perpaduan yang Dr Osman rasa paling ampuh untuk Malaysia di alaf ini?
Bermula daripada sistem pendidikan dan silibus asas yang satu dan sama bagi semua rakyat Malaysia dan menghapuskan sistem sekolah vernakular. Silibus pendidikan kenegaraan yang lebih baik perlu diajar di peringkat sekolah lagi. Kempen-kempen kenegaraan yang lebih banyak, menarik dan dinamik perlu untuk menyemai kesedaran dan kecintaan kepada negara. Begitu juga aspek perundangan, hukuman yang kebih berat perlu diberikan kepada mereka yang melakukan kesalahan yang melibatkan (mencemarkan) simbol dan identiti negara.
5) Bagaimanakah identiti Malaysia seperti bahasa Melayu, agama Islam boleh dipertahankan di tanah air ini?
Pada pendapat saya, kita perlu ada kesedaran dan kehendak politik (political will) yang kuat dalam kalangan mereka yang memegang kuasa. Desakan-desakan berterusan daripada NGO juga perlu sebagai suara rakyat akar umbi. Begitu juga kajian-kajian berkaitan aspek tersebut perlu disuburkan. Dasar yang lebih ampuh perlu digubal untuk menjaga dan mempertahankannya, serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang telah sedia ada.
Pihak Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA Kuala Lumpur mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Osman Rasip yang telah sudi meluangkan masa untuk diwawancara oleh wartawan Rasheedan Ellin.
Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-63! Merdeka!