Dengan situasi pandemik berlarutan dan ketidaktentuan yang tak surut-surut, majoriti kita akan sangat khuatir tentang impak ekonomi.
Saya bukanlah orang yang terpelajar sangat dalam soal ekonomi tapi saya pernah cuba belajar. Satu perkara yang saya ingat ialah ekonomi sebenarnya ialah tingkahlaku manusia.
Kalau pandemik ini dikatakan memberi impak yang negatif kepada ekonomi, bermakna ia juga memberi impak dalam perubahan tingkahlaku manusia.
Yang saya perasan, lebih ramai manusia (yang marhaen khususnya) mula berubah daripada berfikir secara objektif, visionary, dan terancang dalam soal ekonomi (baik untuk dirinya, atau keluarga, atau bisnesnya) kepada cara fikir yang reaktif, ‘survival mode’, dan tidak bersasar.
Contoh paling mudah ialah penglibatan jumlah yang besar (dan semakin bertambah) manusia ke dalam apa yang disebut sebagai ‘ekonomi gig’ (apatah lagi ekonomi berteraskan kredit/hutang).
Ramai menganggap ianya sebagai satu fasa sementara sahaja untuk survive. Tetapi yang mungkin tidak disedari ialah ianya juga mengubah tingkahlaku dan cara fikir.
Apa jadi jika majoriti manusia berfikir begini di dunia? Selepas beberapa tahun, kita mungkin melihat munculnya lebih banyak lapisan manusia yang mudah diperhambakan oleh lapisan kapitalis yang tidak peduli soal pembangunan manusia. Lapisan ini akan terperangkap dalam kitaran kebergantungan terhadap ekonomi kapitalis yang tiada kesudahan.
Ini bukan lagi sekadar mengesani soal makan minum kita sahaja. Ia mengesani soal kewujudan kita sebagai manusia di alam ini. Kata Hamka yang selalu disebut orang memang mengena; “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”
Semenjak dua menjak ini, isu inilah yang bermain di minda saya. Saya khuatir masyarakat kita meneruskan kelangsungan hidup dalam kegelapan. Saya risau kita berpenat lelah bekerja hanya untuk terus hidup sebagai hamba yang ditindas.
Tulisan Imam al-Khallal yang diterjemahkan dengan judul ‘Seruan Untuk Bekerja’ ini tiba di tangan saya tepat pada waktunya. Tulisan ini bukan sekadar mengumpul mutiara-mutiara kata untuk memotivasi.
Ia merakamkan satu tasawwur atau cara fikir yang benar, progresif, dan memajukan, yang diajarkan oleh para Nabi dan orang-orang soleh terdahulu, dalam soal pekerjaan, perniagaan, dan pengindustrian.
Soal kerja bukan soal survival tetapi soal memberi makna kepada kewujudan diri kita di muka bumi.
Soal kerja bukan soal periuk nasi tetapi soal membangunkan, memakmurkan, dan membina dunia yang maju dan bahagia serba-serbinya.
Belum terlambat untuk kita menarik brek kepada gerabak ekonomi yang sedang bergerak laju menuju kepada ‘keterkandasan kemanusiaan’ (wreckage of humanity).
Kita mulakan dengan mencari semula cahaya sebenar kefahaman dalam gelap kejahilan dan keterdesakan kita.
Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Isma Bangi