Beberapa hari lalu bersembang dengan rakan-rakan yang berada dalam bidang perubatan berkenaan COVID19. Bagaimana daya tahan seseorang terhadap penyakit juga memberikan kesan kepada gejala yang diakibatkan oleh virus tersebut.
Sewaktu memandu pulang, nasihat dan bimbingan dari rakan-rakan doktor terus terngiang-ngiang di telinga sekaligus memikirkan beberapa langkah penambahbaikan dalam gaya hidup selepas ini untuk meningkatkan daya tahan kendiri terhadap penyakit. Pada ketika itulah tiba-tiba saya terfikir perihal daya tahan sistem pendidikan kita untuk berhadapan dengan penularan wabak ini.
Saya percaya sebuah sistem pendidikan yang baik seharusnya mempunyai daya tahan terhadap apa jua ancaman. Ini bermaksud dalam apa jua keadaan tidak kira aman atau tidak, pendidikan harus dapat diteruskan.
Awal Mac 2020 kita menyaksikan penularan virus Covid19 ke banyak negara di dunia. Mengikul laporan dari OECD 421 juta pelajar terkesan dengan langkah penutupan sekolah bagi mengekang wabak ini. Sedar tak sedar sudah 39 buah negara mengumumkan penutupan penuh sekolah-sekolah di negara mereka dan secara tidak langsung akses mereka terhadap pendidikan formal terjejas.
Corak peningkatan kes COVID19 yang berlaku saban hari memungkinkan Malaysia untuk mengambil langkah yang sama dengan negara-negara seperti China, Jepun, dan Italy. Mujur juga kita terserempak dengan cuti sekolah pertengahan Mac yang memberikan kita kelebihan untuk mengawal penularan virus ini. Jika tidak saya sendiri tidak pasti apakah nasib pelajar-pelajar di Malaysia.
Yang pasti corak pembelajaran di negara luar yang terjejas dengan wabak ini telah berubah. Kerja-kerja membina bahan pembelajaran di atas talian gigih dilaksanakan untuk memastikan pelajar dapat terus belajar. OECD melaporkan di Hong Kong sahaja 60 organisasi pendidikan terlibat secara serius dalam membangun bahan pendidikan atas talian untuk berhadapan dengan penutupan institusi pendidikan. Manakala Di China 120 juta warga mereka mendapat akses kepada bahan pendidikan melalui saluran tv mereka.
Di Italy mereka menggunakan ‘Virtual Reality’ untuk membolehkan komunikasi yang sebenarnya maya antara guru dan murid berlaku dengan lebih ‘real’ dan banyak juga negara yang menggunakan kepintaran buatan (AI) yang bertindak sebagai guru untuk membimbing murid secara dalam talian.
Di Malaysia, penggunaan platform pembelajaran maya kita baharu sahaja beralih angin. Sewaktu kita berhadapan dengan fenomena jerebu sebelum ini VLE Frog digunakan sebagai platform pendidikan maya. Pada 2019 Google Classroom diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita menggantikan VLE Frog dan nampaknya itulah satu-satunya pilihan yang ada sekiranya kerajaan mengambil langkah menutup sekolah.
Dengan tempoh peralihan platform pembelajaran maya yang masih baharu ini saya percaya, tidak seperti negara-negara lain yang disebutkan diatas, guru-guru akan menjadi satu-satunya ‘sumber’ yang akan memeriahkan platform pembelajaran maya di Malaysia melainkan jika kerajaan Malaysia mengambil langkah yang serupa seperti negara di atas.
Oleh sebab itu, usaha untuk meningkatkan ‘daya tahan’ sistem pendidikan kita terhadap apa jua ancaman harus mula dibangunkan dengan lebih serius. Strategi dan langkah ini harus menjadi keutamaan untuk kita terus memastikan anak-anak didik di Malaysia akan terus mendapat akses kepada pendidikan. COVID19 meskipun memberi kesan yang tidak baik terhadap ekonomi dan kesihatan manusia, dari satu sudut ia seolah-olah mengangkat cermin untuk sistem pendidikan kita bermuhasabah.
Asmadi Abdul Samad
Pendidik
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia