Adakah YB Hanipa merujuk kepada ‘agama’ humanism yang bertuhankan nafsu dan manusia sebagai tuhan?

Saya terbaca kenyataan Ahli Parlimen Sepang dari Amanah yang menyatakan bahawa usaha Menteri Wilayah menghadkan penjualan arak di kedai serbaneka adalah sesuatu yang bertentangan dengan kebebasan beragama.

Pertamanya, sebagai seorang ahli parlimen, agama mana yang mengalakkan penganutnya minum air yang memabukkan? Majoriti agama menegah pengikutnya daripada mabuk dan jika ada yang tidak mengharamkan, ia bukanlah tuntutan agama. Adakah YB Hanipa merujuk kepada ‘agama’ humanism yang bertuhankan nafsu dan manusia sebagai tuhan?

Keduanya, penjualan arak bukanlah diharamkan secara total tetapi secara lebih terkawal. Arak masih lagi bebas dijual di pasaraya, pub dan kedai arak. Ini bermaksud tiada hak kebebasan mana-mana agama yang dinafikan. Apa yang berlaku ialah penjualan arak yang terkawal supaya ia tidak mudah diterdedah kepada masyarakat umum.

Ketiganya, sebagai seorang pemimpin, seharusnya YB Hanipa memikirkan soal kesejahteraan masyarakat yang umumnya menolak pemabuk dan peminum arak. Ini juga berkait dengan isu pemandu mabuk yang terlibat dalam kes kemalangan sehingga membunuh warga yang tidak bersalah. Apakah YB tidak mampu berfikir secara rasional sebagai seorang pemimpin impak positif yang lebih harmoni kepada masyarakat berikutan penjualan arak yang terkawal.

Akhirnya, sebagai seorang Muslim, memastikan ummat Islam terpelihara daripada dosa dan maksiat merupakan tanggungjawab seorang muslim. Antara lainnya ialah dengan cara menutup segala pintu ke arah maksiat tersebut ‘Sadd zaraie’ Jika ummat Islam sendiri tidak minum, bagaimana pula pekerja muslim yang terpaksa terlibat dengan urusan penjualan arak di kedai serbaneka? Apakah YB merasakan bahawa hak kebebasan itu lebih penting daripada tuntutan agama Islam itu sendiri?

Saya menyarankan agar garis panduan penjualan arak diperketatkan dan diperluaskan ke negeri seluruh Malaysia demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian bersama sebagaimana kebanyakkan negara-negara lain seperti Singapura dan eropah. Lebih-lebih lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam kerana Islam itu sendiri adalah sejahtera, segala aturan yang ditetapkan Islam adalah untuk kebaikan dan maslahah manusia itu sendiri.

Ustaz Ibrahim Mohd Hasan
Pemangku YDP ISMA SEPANG

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat