Teringat sahaja Ramadhan 1441H yang bakal berkunjung, nikmat dan manisnya sudah mula terasa di dalam hati umat Islam. Ia datang menzahirkan cinta kepada Allah, jua kasih sesama manusia. Ramadhan juga bulan untuk memotivasi roh dan memberi semangat kepada jasad untuk lebih akrab dengan pencipta.
Hati-hati mukmin seluruh dunia tersemat bahagia saat Ramadhan kian mendekati.
Doa tulus mula dipanjatkan semenjak Rejab lagi, mengharapkan pertemuan dengan Ramadhan dimaqbulkan oleh Allah. Segunung harapan kemudiannya dipahat di hati supaya diizinkan untuk beribadah siang dan malam. Setiap hela nafas mengimpikan berdirinya diri di hadapan syurga ar Rayyan yg boleh dimasuki dari mana-mana pintu yang kita sukai. Ganjaran ini diberikan kepada hamba yang berpuasa dengan mengharapkan redha Allah semata.
Ramadhan itu bulan siyam dan qiyam. Ia menyulam cinta, menggerakkan roh dan jiwa agar terbang tinggi di langit. Ia juga melatih kekuatan dan sifat istiqamah berada di mihrab dalam hening tahajud. Sambil mengungkapkan bait-bait cinta penuh tulus bersama deraian airmata yang turun melaju. Air mata keinsafan dan kerendahan hati ini bakal menghapuskan dosa sang hamba.
Kata-kata pujangga ada menyebut:
“Sesekali ketika engkau menadah tanganmu, biarkan airmata tertumpah dan biarkan esakan sekuat mungkin sampai engkau merasa airmatamu kering. Biarkan engkau bermuhasabah sendiri, berdiam dalam bait doamu hingga engkau mampu merasakan kehangatan cinta Allah dan bahawa Allah itu Maha Pengampun dan bahawa Engkau cuma hamba.”
Ramadan juga merupakan bulan turunnya al Quran, maka sewajarnya kita menghidupkan budaya tadarus dan tadabbur. Ia ibarat melayari lautan cinta yang menghubungkan hamba dan penciptanya melalui bait-bait kalamullah yang dibaca. Bayangkan setiap ayat itu berkata-kata kepada kita!
Setiap hari, jiwa dibajai dari ayat ke ayat, surah ke surah seterusnya juzuk ke juzuk.
Sudah pasti kita akan bertemu dengan ayat-ayat yang menyentuh hati, menjawab persoalan serta gundah gulana hati kita. Di dalam tafsir fi Zilalil Quran ada menjelaskan bahawa al Quran akan berintekasi mengikut apa yang ada pada hati-hati manusia. Ajaib bukan?
Di dalam al-Quran juga banyak diceritakan tentang syurga dan neraka sebagai ganjaran kepada kaum Muslimin dan ancaman kepada kaum Kaafirin.
Di dalam bulan ini juga tersembunyi sebuah malam yang amat didambakan. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ibadah malamnya umpama 83 tahun. Berbahagialah jiwa-jiwa yang istiqamah menghidupkan ibadah siang dan malam kerana Dia pasti tidak alpa untuk menganugerahkan malam al -qadar buat hambaNya yang berpenat lelah sepanjang Ramadhan.
Dan hati pun bermonolog:
Ramadhan 1441H
Apakah nafas masih diizinkan untuk menghirup kedamaianmu?
Apakah nyawa masih dikurniakan untuk menghidu segar udara ketenanganmu?
Ketahuilah….
Aku akan berlari walau apapun yang terjadi,
andai kutahu dan pasti bahawa ini adalah Ramadhan TERAKHIRku dan JANNAHNya cuma selangkah lagi
Ustazah Jannah
Timbalan Ketua Wanita ISMA
Cawangan Johor Bahru