BANGI, 29 Feb – Ahli Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kajang, Zulhelmi Mohd Nasir sekeluarga terbabit dalam kemalangan kereta di Benta, Pahang pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, beliau bersama-sama isteri, Noorazilawati Mohd Zulkipeli – Pegawai ISMA Pusat – serta tiga orang anaknya, Arissa, Syurahbil dan Khadeeja dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan sebelum kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit.
Difahamkan anak perempuan bongsu Zulhelmi, Khadeeja, berusia lima bulan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat kerana pendarahan di otak.
Sementara, anak sulung Zulhelmi, Arissa yang berada di Hospital Kuala Lipis dilaporkan stabil, namun masih dalam pemerhatian doktor sementara Syurahbil kritikal bergantung 80 peratus kepada mesin.
Menurut sumber Ismaweb, Zulhelmi serta isterinya yang juga ahli ISMA cawangan sama tidak mengalami kecederaan.
“Noorazilawati ketika ini berada di HKL bersama Khadeeja manakala suaminya berada di Hospital Kuala Lipis jaga Arissa dan Syurahbil yang masih tidak sedarkan diri,” kata sumber ketika dihubungi hari ini.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyumbang terus ke akaun Maybank Noorazilawati 162834084304.-Ismaweb .