Al-Quran di hati anak-anakku

Anak-anak merupakan amanah ALLAH dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik mereka dengan sebaiknya. Membesarkan anak-anak bukan perkara mudah, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab besar ibu bapa dalam mencorakkan kehidupan mereka agar menjadi insan yang berguna. Sepanjang proses mendidik, sudah pasti kita berdepan pelbagai ragam mereka yang adakalanya membuatkan kesabaran semakin menipis.

Justeru itu meletakkan AL-Quran sedalam-dalamnya di dalam hati  anak-anak kita sangatlah diperlukan. Al- Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhamad S.A.W yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannya. Al-Quran merupakan petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Allah berfirman yang bermaksud “ Inilah kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa” (Al Baqarah:22). Pesan Nabi Muhamad S.A.W “ Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan sunnahku”. Jika berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah dan berbuat baik maka akan mendapat keselamatan, perlindungan dan rasa aman dari segala macam bentuk kejahatan.

Anak-anak dilahirkan di dalam fitrah. Ibu bapa merupakan individu yang mencorak anak-anak. Ibu bapa seharusnya menjadi individu yang penting dalam memastikan anak-anak meletakkan Al-Quran dalam hati mereka.

Tiada umur yang khusus untuk anak bermula mengaji. Mewujudkan roh mencintai Al- Quran paling utama supaya sampai masa terbaik anak- anak lebih bersedia untuk mempelari Al-Quran. Walaupun begitu, ibu bapa perlu bersikap tegas dalam kelembutan.  Menetapkan masa untuk bermain, masa belajar dan masa berehat.

Minat membaca dan mempelajari Al-Quran tidak datang dengan sendiri. Ia perlu didik, diasuh dan ditanamkan dalam jiwa dan minda anak-anak supaya secara sedar dan tidak sedar, Al-Quran dekat dengan hati mereka. Bermula dengan memperdengarkan Al-Quran sejak dalam perut, mengajar alif ba ta bermula umur 3 tahun sehinggalah mereka mampu menghafal dan memahami kata-kata Allah.

Anak-anak yang jiwanya disemai dengan kalimah Allah akan dilembutkan hatinya untuk mendekati Allah. Secara tidak langsung ia menjadi perisai kepada anak-anak daripada segala bentuk cabaran dan fitnah pada akhir zaman ini. Pelbagai bentuk ujian yang kita lihat cuba untuk merosakkan aqidah dan maksiat yang semakin berleluasa tidak mampu untuk dielakkan. Maka kita berharap dengan Al-Quran yang ditanam dalam jiwa anak-anak ini mampu menjauhkan mereka daripada fitnah ini, bahkan mereka mampu menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan selaras dengan saranan Al-Quran.

 

Ustazah Husna binti Muhamad Zamani

Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Sepang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat