Beberapa hari yang lepas, hampir seluruh cawangan Wanita ISMA telah mengadakan program Khatam Quran Perdana Rehal Ramadan. Program tersebut berjaya melibatkan lebih 1000 orang rakyat Malaysia dari pelbagai negeri. Penganjuran Rehal Ramadan ini mempunyai satu matlamat yang jelas iaitu menyeru umat supaya menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan.
Masyarakat hari ini kian jauh daripada Al-Quran. Pelbagai usaha dilakukan untuk mendekatkan masyarakat kepada al-Quran, seperti pertandingan musabaqah al-Quran (MTAQ) dan banyak lagi, namun ianya tidak mencukupi untuk membangunkan sebuah tamadun sebagaimana Rasulullah SAW berupaya membangunkan tamadun Islam yang sangat hebat. Malah ianya sekadar menjadi halwa telinga sahaja. Panduan dan pengajaran yang terdapat di dalam intipati Al-Quran juga tidak dijadikan sebagai asas kepada kehidupan seharian. Begitu juga maksiat yang kian berleluasa, masalah sosial juga kian meningkat akibat jauhnya masyarakat hari ini daripada al-Quran.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran – 110
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ١١٠
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”
Berpandukan ayat ini, menuju ke arah pembentukan negara yang maju, kuat dan berdaulat, masyarakat yang mendokong itu mestilah tinggi nilainya, bertamadun dan berpegang kepada agama. Masyarakat tersebut dinamakan sebagai Ummah Fadhilah iaitu masyarakat yang tunduk sepenuhnya kepada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT, yang berilmu pengetahuan tinggi dalam segenap sudut, mempunyai teknologi yang maju ke hadapan. Kemunduran itu bukan ciri-ciri Islam. Justeru, Wanita ISMA mengambil langkah amar maaruf nahi mungkar ini dengan usaha untuk membentuk komuniti-komuniti masyarakat yang bercirikan Ummah Fadhilah.
Oleh itu, sempena bulan Ramadan ini Wanita ISMA telah mengambil peluang menganjurkan program Rehal Ramadan yang merupakan salah satu usaha bagi mengembalikan masyarakat kepada Al-Quran. Ketahuilah, permulaan kepada segala ilmu itu adalah daripada Al-Quran. Kemunduran ummat Islam hari ini adalah kerana mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai pegangan mereka. Dalam membentuk Ummah Fadhilah ini, Wanita ISMA tidak akan mampu melakukannya bersendirian. Kami memerlukan kerjasama daripada semua peringkat komuniti, jawatankuasa surau dan masjid juga persatuan-persatuan dalam masyarakat setempat untuk bersama-sama kami melaksanakan program-program yang bermanfaat ke arah merelisasikan pembentukan Ummah Fadhilah ini.
Semoga Majlis Khatam Al-Quran Perdana ini, akan menjadi titik tolak kepada perpaduan yang unggul dalam kalangan masyarakat muslim, mencetus semangat dan kesungguhan bagi merialisasikan pembentukan Ummah Fadhilah.
Pn. Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA