KUALA LUMPUR: Daripada menyelami emosi dan tingkah laku manusia, namun kini mendalami ‘isi hati’ basikal.
Itulah yang dilakukan seorang anak Malaysia di Brisbane, Australia Izzat Roslan apabila bekerja sebagai mekanik pasukan lumba basikal, Nero Continental yang bertaraf Continental Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Sydney, Australia sedangkan mempunyai kelulusan psikologi.
Lebih membanggakan, dia muncul sebagai satu-satunya Melayu Muslim yang bekerja sebagai mekanik basikal di bumi Kangaru itu sekali gus memberikan peluang kepadanya secara tidak langsung untuk berdakwah dan menepis stereotaip buruk terhadap orang Muslim.
Menyingkap kembali bagaimana dia boleh terjebak dalam bidang terbabit, anak kelahiran Melaka itu menjelaskan dia terpaksa ‘menongkah arus’ meskipun minatnya dengan dunia basikal sudah dipupuk dari kecil lagi.
“Saya melanjutkan pelajaran di Universiti Adelaide dalam bidang psikologi namun kerana sukar mencari kerja dan menyara keluarga dalam bidang ini, saya buat keputusan mengubah haluan hidup dan mencari rezeki dalam perkara yang saya minat iaitu basikal.
“Selepas mengambil kursus mekanik dan bekerja dengan Jay Taylor di Taylor Cycles, saya mula membabitkan diri dalam bidang mekanik untuk pasukan Nero Continental pada 2019.
“Mekanik pasukan basikal dianggap sebagai standard yang tinggi untuk dicapai dalam kerjaya ini. Jadi, sebab itulah saya kejar standard untuk mencapai objektif dan matlamat saya,” katanya yang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Brisbane.
Mengulas mengenai kerjayanya, Izzat menjelaskan tugasnya sebagai mekanik pasukan basikal sememangnya kritikal kerana ‘nasib’ pelumba berada dalam tangannya.
“Kami adalah antara tenaga kerja yang menentukan basikal ini berfungsi secara optimum. Basikal selalunya dipasang ketika kem latihan dan semasa perlumbaan berlangsung, basikal akan dibasuh selepas tamat setiap peringkat.
“Selepas itu, basikal akan diselenggara bagi memastikan ia dapat berfungsi sebaik mungkin untuk peringkat seterusnya. Kami juga sentiasa bersedia di dalam kereta pasukan jika berlakunya apa apa kejadian tidak diingini ketika perlumbaan berlangsung,” katanya.
Dalam masa sama, Izzat sempat berkongsi pengalamannya dan Jelajah Filipina pada tahun lalu menjadi pengalaman yang sukar untuk dilupakan.
“Pengalaman menarik adalah buat kali pertamanya, saya bertemu pelumba dan mekanik lain dari Malaysia seperti Team Sapura dan Terengganu Cycling Team.
“Namun pengalaman buruk sebagai pasukan baharu, kami kekurangan dari sudut perkakasan dan alat ganti. Dengan penempatan ala kadar, saya terpaksa memikirkan cara membaiki barang yang rosak dan selesaikan masalah mekanikal supaya boleh terus digunakan sehingga tamat perlumbaan,” katanya.
Profil
Nama penuh: Izzat Roslan
Tarikh Lahir: 30 Disember 1992
Usia: 27 tahun
Tempat Lahir: Hospital Besar Melaka
Isteri: Dr Adilah Zafirah Mohd Suberi
Anak: Uwais Fadi Izzat
Kerjaya terkini: Mekanik pasukan Nero Continental (sebelum ini dikenali pasukan Nero Bianchi)
Mekanik basikal di Taylor Cycles
Pengerusi ISMA Australia (2019-2020)
Pendidikan
1999-2002 – SK Taman Koperasi Polis Fasa 2
2003-2004 – SK Taman Kepong
2005-2007 – SMK Puncak Alam
2008-2009 – SBP Integrasi Gombak
2010-2011 – KBU International College
2012-2014 – Universiti Adelaide Kelayakan
2014 – Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Universiti Adelaide
2016 – Sijil Akademi Velo 1 dan 2
2017 – Sijil STEC Shimano dalam Penyelenggaraan dan Pemasangan Mekanikal Jalan
2018 – Sijil STEC Shimano dalam Penyelenggaraan dan Pemasangan Di2, Sijil STEC Shimano dalam Dura Ace r9100 dan Ultegra r8000
Sumber : Berita Harian