REDAKAN KEMARAHAN ANAK DENGAN TEKNIK KOMUNIKASI PARAS MATA

Situasi : Di dalam lif

Anak: Mus’ab nak tengok Didi lagi Mama.

Mama: Mus’ab kan dah tengok tadi, nanti kita tengok Didi lagi, sekarang kita nak keluar jalan pergi makan kenduri.

Anak: Tak nak ! Nak tengok Didi!  (sambil menjerit dan menghentak kaki tanda protes)

Mama: Ye nanti Mama buka Didi lagi tapi bukan sekarang, sekarang kita kena keluar jumpa kawan mama & abi. Mus’ab kan dah tengok Didi tadi, next time kita tengok lagi. (Mama cuba memujuk  lagi)

Anak: Tak nak!! Nak Didi !! (menjerit dengan suara yang lebih kuat)

Mama melutut merendahkan badan untuk cuba berada di paras mata dan mendapatkan “eye contact” dengan anak, sambil menyentuh kedua  lengan anak dengan lembut.

Mama : Mus’ab marah Mama tak bagi tengok Didi ke? ( Anak diam sambil muka monyok)

Dengan nada memujuk yang sama: Nanti mama bagi Mus’ab tengok Didi lagi, bukan sekarang. Sekarang kita nak keluar jalan-jalan dulu ok?

Anak: Ok… ( Anak kelihatan lebih tenang dan akur dengan penjelasan Mama)

Tiba-tiba rasa macam magik. Ini bukan kali pertama. Banyak kali cuba gunakan taktik ini, boleh dikatakan kebanyakan masa berjaya melainkan anak dalam keadaan sangat penat, mengantuk atau lapar.

Komunikasi Paras Mata

Komunikasi pada paras mata ialah satu teknik yang sangat berkesan untuk ibu bapa ‘engage’ dengan kanak-kanak. Ibu bapa boleh melakukkannnya dengan cara melutut, bertinggung atau mengangkat anak supaya berada sama paras dengan kita.

Cuba kita para ibu bayangkan. Suami kita berdiri dia atas kerusi sambil bercakap dengan kita atau memberi arahan, adakah kita rasa selesa? Mesti rasa macam ada raksasa yang sedang bercakap dengan kita kan?. Begitulah yang anak-anak kita rasa pada kebanyakan masa apabila berkomunikasi dengan kita kerana ketinggian mereka hanya separuh dari kita.

Bercakap pada paras mata anak akan menjadikan anak rasa lebih tenang, selamat dan lebih terkawal (in control). Ia juga memberikan signal yang menunjukkan bahawa kita bersedia memberikan sepenuh perhatian dan menjadi ‘active listener’ kepada mereka. Dengan ini, ia menjadikan mereka lebih tenang dan mudah untuk bekerjasama.  Apabila kita menjadi pendengar yang baik kepada anak, ia akan meningkatkan keyakinan diri mereka.

Selain itu, satu perkara yang baik untuk kita praktikkan apabila kita berkomunikasi dengan anak ialah berbincang mengenai emosi mereka pada ketika itu. Kanak-kanak mempunyai emosi sama seperti kita, marah, geram, kecewa, gembira, sedih, teruja dan macam-macam lagi.

Cuma bezanya mereka kurang kosa kata dan adakalanya mereka sendiri tak tahu atau keliru apakah perasaan mereka itu. Maka ibu bapalah insan yang paling sesuai untuk mengajar mereka mengenali perasaan dan emosi.  Kita boleh bertanya kepada mereka seperti:

“Adik marah sebab mama suruh kemas mainan ke?” “Adik sedih Abang pukul adik?”.

Dengan ini mereka akan rasa perasaan mereka difahami dan dihargai oleh ibu bapa dan secara tidak langsung mengajar mereka untuk mengenal emosi mereka sendiri dan belajar untuk menyatakannya. Ini juga boleh memupuk sifat empati anak-anak terhadap emosi orang sekeliling. Ini penting tau, kalau tak, besar nanti cikgu marah pun dia tak perasan.

Anak-anak dilahirkan suci dan kitalah yang mencorakkannya. Hadis Nabi SAW ada menyebut: “Tidak ada pemberian ibu bapa yang paling berharga kepada anaknya daripada pendidikan akhlak mulia.” (HR. Bukhari).

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul..

** Penting untuk kita fahami, adakalanya mungkin taktik ini kurang berhasil terutamanya jika keperluan asasi anak tidak dipenuhi, seperti rehat, lapar, mengantuk. Yang ni cakaplah, pujuklah dengan cara apa pun memang tak jalan. Ubatnya perlulah diselesaikan apa yang patut.

Faizatul Izzati Mohd Osmani

Aktivis I-Medik (Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat