Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau mendapat sokongan majoriti ahli parlimen dan secara automatiknya Tan Sri Muhyiddin ‘jatuh’ adalah tidak mengejutkan tetapi mengecewakan kerana membuktikan wakil-wakil rakyat kita suka dan terlalu senang melompat parti.
Apa yang pasti, negara akan menjadi tidak stabil, pelabur akan semakin bimbang dan ramai yang akan keluar dari melakukan perniagaan dan pelaburan di negara kita. Dalam keadaan pandemik yang menyebabkan ekonomi menjadi teruk ini, pastinya akan menyebabkan rakyat semakin menderita.
Rakyat berharap agar Yang Di-pertuan Agong dapat berbuat sesuatu bagi mengembalikan ketenteraman dan kestabilan politik negara bagi mengelakkan pelbagai implikasi dan kekacauan.
Saya berharap agar parlimen dapat dibubarkan dan serah kembali kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka kerana kita tidak tahan dengan sikap ramai ahli parlimen yang suka melompat kiri dan kanan tanpa prinsip yang jelas. Akhirnya yang rugi dan menderita adalah rakyat tetapi mereka tetap senang lenang di atas kerusi empuk dan gaji berpuluh ribu.
Kita harap agar rakyat dapat membuat persiapan dan berani membuat perubahan untuk memilih calon yang paling berwibawa dan berprinsip tidak kira parti kerana kita sudah saksikan, parti tidak berjaya ‘mengikat’ diri daripada melompat tetapi sebenarnya prinsip dan kewibawaan.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
23 September 2020