Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada BN/PN kerana memenangi PRK Slim dengan majoriti yang semakin bertambah. Dikatakan Cina dan India kini sudah kembali menyokong BN/PN. Semua saluran telah dimenangi oleh parti pemerintah.
Sebenarnya tidak ada apa-apa yang nak disorakkan sangat sebab semua sudah maklum kawasan ini memang kawasan kubu BN pun. Mungkin pertambahan majoriti itu yang agak berbeza yang dianggap ramai bahawa BN kini kembali disokong rakyat.
Tetapi bagi saya, tiada apa yang nak disorakkan sangat. Ini hanya kemenangan politik untuk menjaga kuasa. Selain daripada itu saya tak nampak ianya akan merubah sikap BN kepada semakin membela nasib bangsa dan agama negara. Mungkin ada yang marah dengan saya tapi saya tidak kisah kerana saya sudah melihat begitu banyak keadaan nasib bangsa dan agama tak berubah-ubah, tidak kira siapa pun yang memerintah.
Ya, satu aspek kita merasa lega kerana kini negara diperintah oleh ‘kerajaan Melayu’ tetapi apakah itu akan diterjemahkan dalam realiti membangunkan dan membela orang Melayu? Saya agak sangsi.
Lihat sahaja kes Adib, kes judi haram, kes pencerobohan tanah haram, kes penghapusan tanah melayu, kes sekolah vernakular, kempen BMF, kes tulisan jawi, kes UEC, kes arak dan banyak lagi yang merupakan antara sebahagian kes yang melihatkan gelagat parti-parti Melayu dalam kerajaan.
Kita tidak nampak kelibat parti “Melayu” dan parti “Islam” bangun membela sebagaimana mereka bangkit semasa menjadi pembangkang dahulu. Semasa menjadi pembangkang memang kita nampak keberanian mereka tetapi rupa-rupanya bila sudah memerintah jangankan taring dan belang hilang, bayang pun sudah tidak nampak. Saya tidak tahu mengapa, dan ini sangat mengecewakan.
Jadi apalah sangat erti kemenangan PRK Slim? Sebenarnya ia hanyalah drama politik yang dimainkan oleh politikus-politikus yang sudah usang dan gersang dalam konteks perjuangan bangsa dan agama. Kalau betul mereka ini pejuang agama dan bangsa, saya cabar mereka untuk pergi ke Raub dan pertahankan tanah kerajaan, kembalikan tanah rezab melayu, bela nasib Adib, berjuang hapuskan sekolah vernakular dan sebagainya, seperti mana semasa mereka menjadi pembangkan dulu.
Jika tidak, kemenangan di Slim hanyalah satu muqaddimah kepada drama kerakusan kuasa yang akan terus bermaharajalela melalui seruan-seruan retorik membela agama dan bangsa sahaja.
Lagi satu, jika benar kemenangan di DUN Slim (di bawah parlimen Tanjung Malim) ini menunjukkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap kerajaan, pastinya tiada masalah untuk parti-parti politik Melayu meletakkan calon di kerusi parlimen Tanjung Malim yang kononnya menjadi kerusi tradisi MCA di mana majoriti pengundinya adalah orang Melayu.
Ini kerana kita seringkali mendengar alasan “kerusi tak cukup untuk perjuangkan agenda Melayu/Islam” di parlimen. Apakah kerusi ini akan hanya menjadi kuota ‘safe seat’ bagi MCA untuk ke parlimen? Kita tunggu dan lihat sahajalah gelagat mereka ini.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
30 Ogos 2020