Bekal sepanjang Ramadan
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ خِلْفَةًۭ لِّمَنْ أَرَادَ أَن يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُورًۭا
Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu). (Al-Furqaan: Ayat 62)
Allah yang menganugerahkan Ramadan setiap tahun dengan kelebihan pahala berganda bagi yang siapa yang beramal. Allah juga memberikan gandaan pahala kerana kemuliaannya seperti Allah memuliakan 3 tempat iatu Masjidil Aqsa, Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram.
Disamping itu, Allah memuliakan manusia kerana taqwanya.
ان اكرمكم عند الله اتقاكم
“Semulia-mulia manusia adalah yang paling bertaqwa“
إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya Allah hanya menerima amal orang yang bertaqwa”. (Al-Maidah: Ayat 27)
Pensyariatan puasa juga merupakan satu proses untuk melahirkan insan bertaqwa, merupakan medan untuk menggandakan pahala dan meninggikan roh seperti maksud firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Laluilah bulan Ramadhan dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, ikhlas dan menjaga akhlak, berusaha untuk menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, mengekang syahwat serta nafsu makan serta kalam yang tidak berfaedah, hidupkan malam-malamnya dengan roh ibadah yang penuh perhitungan dan keinsafan .
Kamu Menyambut Ramadhan
Perasaan dihadiri tetamu yang AGUNG seperti Ramadan akan membawa pelbagai ganjaran kepada kita.
Nasihat Rasulullah kepada para sahabat R.A:
“Jika kamu mendirikan solat, maka solatlah seolah-olah ia solat yang terakhir bagi kamu”.
Bayangkan andai ia adalah solat terakhirmu, betapa tingginya khusyu’, pasrah dan berharap kepada Allah.. Begitu juga dengan Ramadan yang sedang kita lalui…
Anggaplah ini Ramadhan kita yang terakhir. Bersiap sedialah dengan hati, emosi dan perasaan serta berazam untuk menunaikan dengan yang terbaik, sambutlah dengan hati yang gembira dan kongsikan berita gembira kepada sahabat-sahabat serta jiran tetanggamu.
Rasulullah ketika tiba bulan Ramadan
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu Neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad S.A.W daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalamnya ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya”
Begitulah Baginda Rasulullah meniupkan semangat untuk merebut peluangan keemasan kerana Ramadan adalah ladang ibadah membersihkan hati dari kefasadan. Tunaikanlah sebaik-baiknya. Tingkatkan kualiti ibadah puasa kita dan tidak bercakap perkara-perkara yang tidak elok.
“Siapa yang menanam benih, menyiram dan membaja, tidak akan menyesal di hari menuai, dialah yang akan merasa hasilnya.”
Azam Ramadhan Kali Ini
Berikut adalah senarai azam yang kita boleh lakukan sepanjang bulan Ramadan:
1) Berazam berpuasa bukan sekadar melaksanakan kewajiban tetapi ingin mendapatkan magfirah Allah, menghapus dosa-dosa kita yang lalu dan akan datang.
من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan ganjaran) maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu‘’.
2) Berazam untuk khatam Al-Quran dan mentadabburi maknanya.
3) Mendirikan Solat berjemaah pada setiap waktu.
4) Menjadi orang yang paling pemurah memberi makan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga.
5) Kongsikan ilmu dan pengalaman kepada masyarakat.
6) Mengambil kira tentang hati, dijauhkan dari riak, takbur, ujub dan lain-lain. Semoga ibadah kita Ikhlas kerana Allah Taala dan dapat menghapuskan dosa.
7) Menghidupkan malam Lailatul Qadar dan tidak meninggalkan solat terawikh sepanjang bulan Ramadhan.
Oleh,
Ustazah Norhayati Ahmad Salleh,
AJK Biro Dakwah, ISMA Kuantan