Oleh : Mariah Mohtar
BANGI, 19 April – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai menggunakan kaedah aplikasi persidangan video untuk melakukan pelbagai pengisian seperti kelas atas talian, forum, ceramah agama dan pelbagai lagi.
Antara aplikasi persidangan video yang biasa digunakan adalah, Google Hangouts, Skype, Workplace by Facebook, Microsoft Teams, Facetime, Instagram, Whatsapp, Snapchat dan yang sedang popular ketika ini ialah Zoom.
Tetapi secara tiba-tiba ada berita yang mengatakan Zoom telah diceroboh dan menyebabkan ribuan akaun telah dicuri menjadikan pengguna gusar.
Perkara ini mendapat respon daripada Ketua Pegawai Eksekutif Fix & Go, Azril Hanafi yang berpendapat perkara ini bukan sahaja boleh boleh berlaku kepada Zoom sahaja tetapi pada aplikasi lain juga.
“Secara asasnya nak beritahu yang, apa jua perisian dan teknologi yang kita gunakan pasti terdedah kepada ancaman siber.
“Bukan sahaja Zoom tetapi jenama besar seperti Adobe, Yahoo, eBay, LinkedIn, dan Marriott International antara syarikat yang pernah diceroboh dan melibatkan jutaan akaun pengguna di seluruh dunia,” katanya yang merupakan pengguna tegar Zoom.
Katanya secara kebetulan memang benar Zoom mempunyai isu keselamatan yang secara popularnya disebut sebagai ‘Zoom-bombing’.
Cumanya, baru-baru ini Zoom telah membuat beberapa major security update dalam tempoh sebulan dan anda perlu perbaharui sahaja perisian Zoom untuk dapatkan salinan perisian terkini.
Ujarnya, risiko apabila menggunakan perisian persidangan video ini dapat dikurangkan apabila kita mengaplikasikan tips daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) ini.
Antaranya menggunakan perisian yang mempunyai reputasi dan bukan perisian cetak rompak.
Selain itu muat turun perisian dari laman sesawang yang rasmi sahaja dan pastikan sesi tele persidangan itu dipantau dan disertai oleh peserta yang dibenarkan sahaja.
Tambahnya lagi keselamatan perisian tele persidangan anda ini boleh diperketat dengan meletakkan kata laluan yang kukuh, elak bincang dan kongsi dokumen sulit serta sensitif.
Akhir sekali jangan kongsi pautan atau ID tele conference dengan orang lain.