Saya berkesempatan bersama suami ke Utara tanahair beberapa bulan yang lalu.
Di sana, saya masuk ke sebuah pasaraya berhampiran hotel penginapan kami untuk membeli beberapa barang keperluan.
Kelihatan dari luar kedai yang kami tuju ini seakan-seakan Seven Eleven. Sebaik sahaja saya masuk , langkah saya terhenti, mata saya kaget melihat barang-barang yang dipamerkan di bahagian hadapan kedai itu.
“Banyaknya kotak-kotak, deretan tin-tin dan botol-botol ar4k dalam pasaraya mini ini,” bisik hati saya.
Saya memandang tepat kepada penjaga pasaraya itu dan terus meluru keluar menuju ke kereta di hadapan kedai itu, di mana suami saya sedang menunggu.
Melihat kepantasan saya masuk dan keluar semula dari pasaraya itu, mungkin ditambah pula dengan muka kelat saya agaknya, suami saya terus bertanya,
“kenapa sayang?”
“Kita pergi kedai lain je la sayang”, sahut saya.
“tak ada ye barang-barang yang kita nak beli di kedai tu?”
“Ada, tapi jom la kita pergi ke kedai lain. Kita tak perlu beli barang kat situ. Banyak sangat ar4k yang dijual di kedai itu, bersusun kotak-kotak, tin-tin dan botol-botol ar4k dalam tu,” ujar saya.
“Ohh ya ke?”, sahut suami saya kaget.
“Kalau macam tu kita ke tempat lain dan selesaikan urusan kita yang lain dulu, kita beli barang-barang tu kemudian je,” ujar suami saya.
Barulah saya lega, saya senyum dan bersetuju dengan cadangan itu. Namun saya sambung rungutan dan sungutan saya dalam perjalanan kami sewaktu menuju ke beberapa destinasi pagi itu.
Selesai urusan kami hari itu, kami pulang ke hotel. Saya maklumkan pada suami yang saya berhasrat untuk singgah di pasaraya itu semula.
Suami saya terkejut dan lantar bertanya, “nak buat apa?”
Sebenarnya saya cukup kesal kerana saya dapati pekerja pasaraya itu tadi adalah seorang gadis Muslimah yang bertudung litup. Jadi saya berhasrat untuk bertemu dengan beliau jika dia masih betugas di situ.
Kami sampai semula di hadapan pasaraya itu, saya turun, masuk dan mulakan langkah dengan membeli satu barang kemudian pergi ke kaunter bayaran. Saya bertuah kerana tidak ada pelanggan lain ketika itu.
Di kuanter bayaran itulah saya sapa adik penjaga kaunter ini. Saya cari kekuatan untuk sapa adik ini dengan lembut dan ramah.
Akhirnya sebelum saya keluar dari kedai itu, saya sempat nasihatkan adik ini suapaya dia usahakan mencari pekerjaan yang lain atau setidak-tidaknya beliau bekerja di kedai yang jauh lebih baik keadaannya dari suasana kedai seperti itu.
Saya tidak mahu dan tidak rela seorang gadis muslimah sepertinya terlibat dalam aktiviti membeli dan menjual minuman keras ini kerana pastinya ada pilihan-pilihan kerja yang lain.
Lega dan lapang hati saya pagi itu.
Namun, jauh di sudut hati saya sangat gusar kerana ar4k ibu segala maksiat ini dijual dengan sangat meluas di negara kita. Malah di tanahair ini juga tersergamnya kilang ar4ak yang cukup gah dan saya kira pastinya terdapat juga di kalangan orang Melayu muslim yang bekerja di sana.
Undang-undang-undang berkaitan ar4k di negara kita juga sangat longgar.
Mengikut undang-udang sedia ada, pemandu mabuk boleh didenda RM6,000 atau penjara tidak kurang 12 bulan. Bagi yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah didenda maksiumum RM10,000 atau penjara 12 bulan.
Sedangkan di Singapura, aktiviti menjual dan meminum ar4k tidak dibenarkan berlaku di sana selepas jam 10.30 malam dan tindakan keras akan diambil jika ada di antara rakyatnya yang berbuat demikian.
Ini cukup berbeza dengan suasana di tanahair kita yang tercinta dan membuatkan saya tertanya-tanya di manakah silapnya?
Hati ini semakain gusar, kerana satu demi satu kes kematian disebabkan pemandu mabuk meragut nyawa-nyawa yang tidak berdosa telah berlaku di negara kita.
Kejadian Syawal ini, mautnya seorang kakitangan Alam Flora di Kuantan, Pahang akibat dirempuh dengan kereta seorang peraih ikan yang mabuk, yang memandu secara merbahaya dan melawan arus sejauh tujuh kilometer sebelum merempuh kereta mangsa.
Terdahulu dari itu, anggota polis yang sedang betugas menjaga kawalan sempena PKP di Lebuhraya Kajang- Seremban (LEKAS ) juga maut dirempuh sebuah kenderaan oleh seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk. Serta banyak kes-kes berkaitan seumpama ini berlaku di negara kita tanpa tindakan tegas pihak berwajib.
Harapan saya, moga ada penyelesaian yang terbaik diambil dan dilakukan bagi menangani masalah ini. Saya menyokong penuh sebarang cadangan dan usaha mengharamkan penjualan arak atau membasmi industri ini di semua peringkat. Juga tindakan sewajarnya yang tegas haruslah diambil oleh pemandu mabuk yang menyebabkan kehilangan nyawa.
Usahkanlah sedaya mungkin di semua peringkat kerana Malaysia pasti akan aman tanpa arak dan usaha yang dibuat oleh orang Islam dan para pemimpin mslim untuk kemaslahatan masyarakat ini pastinya akan mampu menjadi hujjah di hapadan Allah SWT kelak tanda kita telah sedayanya menegakkan suruhan Allah.
Oleh :
Ustazah Kaslawati Binti Kassim
Ketua Biro Komunikasi Korporat & Multimedia
Ikatan Muslimin Malaysia Isma Cawangan Seremban