Bagaimana Kita Mengakhiri Ramadan?

Ramadan telah pergi meninggalkan kita

Detik hati adakah diri telah memberi layanan terbaik buat ‘tetamu istimewa’ ini?

Syukur ke hadrat Ilahi diberi kesempatan sekali lagi merasai nikmat bulan ini. Dan kali ini dalam suasana yang sangat berbeza daripada sebelumnya. Pastinya hikmahnya juga mendidik jiwa dengan cara yang istimewa.

Rasulullah SAW berkata sesuatu perlakuan itu dinilai di penghujungnya. Fasa terakhir inilah penentu apakah selama sebulan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya masa yang diberi dengan sebaik-baiknya.

Ketika inilah ujian datang melemahkan diri untuk terus berada dalam mod sepertimana pada awal fasa dahulu. Itulah juga hikmah mengapa Lailatulqadar diletak waktunya pada akhir fasa. Tidak lain tidak bukan untuk terus bersemangat meneruskan amalan- amalan baik yang dilakukan selama ini. Pernah juga mendengar untuk sesuatu perbuatan itu menjadi amalan hendaklah istiqamah melakukannya lebih 40 kali.

Di sebalik kegembiraan membuat persiapan kedatangan Syawal, harus juga beringat untuk membuat persiapan terbaik dalam mengakhiri bulan yang penuh barakah ini dengan :

Taubat

… عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَخۡتَانُونَ أَنفُسَكُمۡ فَتَابَ عَلَيۡكُمۡ وَعَفَا عَنكُمۡۖ

Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu.

-Al-Baqarah:187

Kembali kepada Allah SWT dengan menyesali atas segala dosa dan memohon ampun kepadaNya serta beristighfar dengan sebanyak- banyaknya atas dosa- dosa yang telah dilakukan. Adalah sunnah sesuatu amalan itu diakhiri dengan memohon keampunan. Sepertimana apabila menunaikan solat, di akhiri dengan berdoa memohon keampunan kepadaNya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun kepada mereka yang bertaubat dengan sebenar- benar taubat (tidak mengulangi dosa yang lalu)

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

-Al-Baqarah:160

Bersyukur

….وَقَالُواْ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي هَدَىٰنَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهۡتَدِيَ لَوۡلَآ أَن

هَدَىٰنَا ٱللَّهُۖ

… dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); …”.

-Al-A’raf:43

Bersyukur dengan berdoa bersungguh-sungguh sambil menyebut nikmat yang telah dikurniakan olehNya. Nikmat kesempatan melalui bulan ini, nikmat kesihatan yang diberi, nikmat manisnya dapatnya menambah amal kebaikan, nikmat manisnya dapatnya memperbanyakkan bacaan al Quran, nikmat bersedekah, nikmat manisnya dapat membantu orang lain, nikmat bersama keluarga, nikmat manisnya bangun malam bersujud menangis mengenangkan dosa-dosa. Sesungguhnya tiada daya untuk melakukannya melainkan kurniaan pertolongan dariNya Yang Maha Mengasihani.

Niat untuk berubah

Taubat tanpa perubahan tidak membawa apa-apa makna. Akhirilah Ramadan dengan niat untuk mengubah diri kepada yang lebih baik daripada sebelumnya. Terasa begitu rugi jika amalan yang dilakukan selama ini ditinggalkan begitu sahaja bila berakhirnya bulan Ramadan. Belum tentu untuk kita bertemunya lagi pada masa akan datang. Cabaran di bulan- bulan lain pastinya bertambah namun itulah lumrah kehidupan. Perlukan mujahadah dan pengorbanan. Demi kemanisan yang berkekalan.

Jangan biarkan Ramadan pergi membawa bersama amal kebaikan yang dilazimi.

Ramadan bulan mendidik jiwa. Membersihkan hati mengikis karat jahiliyah yang berada dalam diri. Membentuk insan rabbani. Agar tidak tergolong dikalangan mereka yang rugi.

Takbir

Selayaknya kalimah takbir meniti dibibir. Dialah Tuhan Yang Maha Besar yang memberi kita petunjuk untuk membebaskan diri dari belenggu nafsu. Tanpa hidayahNya kita tenggelam dalam dosa.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar. Lailahaillallahu wAllahu Akbar! Allahuakbar Walillahilhamd’

وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

… dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Al-Baqarah:185

Selalu di malam raya kita bertakbir kerana seronoknya hendak menyambut Syawal keesokan harinya. Kali ini biarlah kita benar- benar menghayati makna sebenar takbir yang kita laungkan. Sesungguhnya ia adalah tanda kemenangan bagi mereka yang berjaya dengan cemerlang di madrasah Ramadan. Moga- moga Allah mengampuni dan menerima segala amalan kita.

Syawal seharusnya menjadi titik tolak perubahan. Istiqamah dengan amal kebaikan.

Pohonlah diberi kekuatan diri.

Menjadi manusia yang dicintai Ilahi.

Bulan Ramadan bakal pergi

Tetapi Tuhanmu yang menciptakan bulan ini kekal Abadi

Jangan sia-siakan nikmat segunung

Jadilah kita manusia yang beruntung

Taqaballahu minna waminkum.

 

 

Aslina Abd Rahman

Aktivis ISMA Nilai

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat