Bahasa Jiwa Bangsa, Erti Sebenar Identiti Negara

Oleh: Mohd Naim Yusof

KUALA NERUS, 13 Sept- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuala Terengganu (ISMA KT) dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Datok telah menganjurkan sebuah wacana bersama penduduk kampung disini hari ini. Wacana ini telah diadakan di Pusat Komuniti Kampung Gong Datok.

Bertemakan bahasa jiwa bangsa, wacana ini telah membincangkan tentang beberapa topik yang menarik mengenai fungsi bahasa kebangsaan sebagai medium perpaduan di sesebuah negara khususnya di Malaysia yang secara maklumnya terdiri dari pelbagai kaum. 

Tiga bangsa terbesar Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India seharusnya bersepakat diatas satu identiti negara yang ingin dibina jika mengimpikan sebuah negara yang kuat dan berdaulat serta maju setanding dengan negara-negara maju yang lain.

“Saya pernah pergi ke Thailand, semua rakyatnya bertutur dalam Bahasa Thailand. Tidak kira dari bangsa mana, hatta bangsa melayu di Thailand juga fasih berbahasa Thailand.” Berkata Ustaz Doktor Razali Musa, pensyarah usuludin UnisZa, yang merupakan salah seorang ahli panel wacana yang diadakan.

Menurut beliau juga, polisi-polisi yang dijalankan oleh kerajaan Thailand menyebabkan bahasa mereka terpelihara. Begitu juga apa yang berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia, German, Jepun dan lain-lain.

Ini meunujukkan bahawa bahasa merupakan sesuatu yang amat dititik beratkan oleh negara lain bagi membentuk satu identiti negara. Tetapi, apa yang berlaku di negara kita adalah sebaliknya.

Selain itu, isu penguasaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan Malaysia dikalangan bangsa bukan melayu amat lemah juga ditekankan dalam wacana ini. Hal ini seterusnya mengakibatkan perpaduan antara rakyat Malaysia sukar dicapai. Masalah ini boleh dikatakan berpunca dari sistem pendidikan yang pelbagai aliran yang wujud di Malaysia.

“Tidak ada di negara lain yang wujud sistem pendidikan yang pelbagai aliran seperti Malaysia. Sistem pendidikan di Malaysia ini sebenarnya amat pelik sekali. Kita tidak pernah dengar adanya sekolah cina di Jerman, sekolah india di Jepun. Semuanya menggunakan satu sistem pendidikan sahaja,” kata Ustaz Shaikh Sabri Shaikh Ismail, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Manir yang mempunyai kelulusan Pendidikan dan Bahasa Arab dari Universiti Al-Azhar, merupakan ahli panel kedua dalam wacana yang diadakan.

“Sekolah aliran selain kebangsaan ini sebenarnya menggunakan sistem pendidikan tersendiri. Bagaimana acuan yang lain-lain boleh menghasilkan produk yang sama?” soal beliau. Menurut beliau lagi, sistem pendidikan yang bercanggah dengan perlembagaan ini menghalang wujudnya perpaduan antara kaum serta menjadi punca bahasa kebangsaan tidak dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Sehinggakan pemimpin politik yang diangkat di parlimen juga tidak fasih berbahasa melayu sedangkan ia merupakan bahasa dan identiti bagi negara kita. Perkara ini sebenarnya amat membimbangkan.

Kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa perlu wujud satu badan yang mempunyai kuasa bagi memantau penggunaan bahasa melayu. Badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi mandat kuasa perlaksana untuk memperkasakan bahasa melayu. Selain itu, sistem pendidikan yang bercanggah dengan perlembagaan hendaklah dihapuskan bagi menjamin perpaduan. Tulisan jawi juga haruslah diberi kedaulatan bagi menjamin identiti negara terpelihara.

Watan ini mempunyai sejarah yang panjang dan mempunyai identiti tersendiri. Bangsa Melayu merupakan bangsa tonggak di tanah air ini. Identiti dan kedaulatan Malaysia haruslah dipertahankan demi masa depan anak cucu kita yang mendatang. Identiti Malysia merupakan identiti Melayu dan Islam. Jika runtuh pasak ini, maka akan hilang lah jati diri.

Wacana ini disambut baik oleh penduduk Kampung Gong Datok. Kira-kira hampir 40 orang lebih dari kalangan orang kampung telah hadir ke wacana ini dengan pematuhan SOP penjarakkan sosial yang telah ditetapkan. Kerjasama seperti ini amatlah dialu-alukan oleh mereka dan diharapkan dapat diteruskan lagi dimasa akan datang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat