Ku Seman Ku Hussain
Sejak seminggu dua ini riuh rendah dengan kontroversi sindiket yang memalsukan sijil import daging halal ke negara ini. Daging yang tidak dipastikan status halalnya diimport dalam kuantiti yang besar dipercayai sudah berlegar di pasaran negara ini.
Beberapa pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kastan menjadi sasaran dan dipersalahkan oleh sebahagian besar warga maya. Tidak kurang juga yang memberikan reaksi yang terkeluar daripada isu sebenar.
Cakna dengan isu yang melibatkan halal dan haram ini suatu yang baik. Tetapi lebih baik lagi kalau melihat isu yang menjadi kontroversi ini melampaui pemalsuan sijil halal, misalnya kenapa kita perlu bergantung pada daging yang diimport. Inilah cara berfikir.
Agensi atau jabatan tertentu memang perlu dipertanggungjawabkan, tetapi jangan lupa ini adalah satu jenayah. Analoginya kita tidak boleh menyalahkan polis apabila berlaku rompakan dan sebagainya. Maka berpada-padalah memberi reaksi.
Isu pemalsuan sijil halal ini memang besar tetapi ada isu yang lebih besar yang menuntut kesedaran semua pihak – birokrat dan masyarakat menanganinya. Kita perlu berfikir melampaui yang sudah berlaku dan akan bertemu hal-hal lain yang sebenarnya lebih besar.
Pembongkaran sindiket ini secara tidak langsung membentangkan kepada kita isu kebergantungan yang terlalu tinggi pada bahan makanan yang diimport. Tahapnya sangat serius, ibaratnya kalau import ini dihentikan dengan tiba-tiba kita boleh kebuluran.
Hal sindiket yang ‘loklaq’ itu kita serahkan kepada pihak berkuasa dan yang disyaki terlibat sudah ditahan. Sebenarnya menangkap dan menghukum pesalah yang paling ‘haprak’ itu tidak menyelesaikan masalah yang lebih besar – keberhantungan pada bahan makanan diimport.
Saya tidak dapat membayangkan kalau hari ini lebih kurang 120 negera-pengeksport bahan makanan termasuk daging lembu memulaukan import dari Malaysia. Jangan main-main, kita boleh mati kering tidak makan dibuatnya. Saya tidak berhasrat sengaja menakut-nakutkan, tetapi inlah realitinya.
Kalau ada yang hendak terloncat dengan isu ini, saya akan menyokong mereka. Cukup-cukuplah membelasah pihak seperti Jakim, Jabatan Kastan dan sebagainya. Kes ini telah diambil tindakan serius oleh pihak berkuasa. Tetapi kebergantungan pada import makanan tidak ada pihak yang ambil tanggungjawab lagi.
Terlalu bergantung pada import adalah jerangkap samar yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kalau pengeksport beras pulaukan kita, bayangkan apabila keluaran beras kita tidak dapat menampung keperluan tempatan.
Pada era di mana geopolitik yang tegang kendurnya tidak boleh diramalkan, keadaan yang melingkari kita sekarang adalah sangat membimbangkan. Sangat menakutkan. Pengeksport ada kuasa dan tidak semua keadaan ada duit semua jadi. Itu hanya mitos kerana negara lain pun ada duit lebih banyak dan menawarkan sesuatu yang menguntungkan pengeksport.
India misalnya menguasai 78 peratus pasaran eksport daging beku ke Malaysia. Negara kita memerlukan 205,997 tan setahun, tetapi industri ternakan tempatan hanya mampu membekalkan 46, 337 tan sahaja setahun. Sejak Mac lalu India mengecilkan eksport daging kerbau dari 100,000 tan sebulan pada 40,000 tan kerana pandemik Covid-19. Maka harga daging kerbau pun melambung kerana permintaan banyak daripada bekalan.
Pada Disember lalu saya terlibat dengan beberapa program di Pantai Timur dan di utara. Sepanjang jalan melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan LPT 2 di Terengganu, kiri kanan kelihatan banyak tanah terbiar. Hanya penuh dengan belukar yang sudah tentu tidak mendatangkan hasil kepada pemiliknya.
Begitu juga dengan sepanjang perjalanan ke utara – kawasan di negeri Selangor, Perak dan Kedah yang berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) banyak tanah yang terbiar. Saya fikir tanah yang dibiarkan itu sangat sesuai untuk pertanian atau seidak-tidaknya kawasan menternak lembu.
Sikap demikian menggambarkan seolah-olah negara kita terlebih bekalan makanan. Seolah-olah sektor pertanian tidak perlu digerakkan lagi kerana bahan makanan berlebihan untuk keperluan dalam negara. Pendek kata kita tidak kebuluran kerana penghasilan bahan makanan dalam negara lebih daripada mencukupi. Kononnya.
Tetapi realitinya hanpir semua yang kita makan dibawa dari luar negara. Daripada beras, daging lembu hinga kacang bendi semuanya diimport. Sedangkan pada masa yang sama banyak tanah yang terbiar. Guna tanah yang ketara hanya kepala sawit, getah dan sawah padi.
Apabila diselak-selak matlamat Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) kita akan temui matlamatnya untuk meningkatkan sekuriti makanan, produktiviti dan daya saing sektor pertanian serta mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain.
Apabila kebergantungan yang tinggi terhadap import, apa sudah jadi dengan DPN3? Kebergantungan ini di tahap yang serius. Kalau banyak bergantung susahlah kalau hendak bercakap tentang keselamatan makanan. Pemalsuan sijil halal itu sudah menjadi bukti tentang cabaran keselamatan makanan.
Matlamat DPN3 sudah cukup bagus tetapi realitinya sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun daripada 13.5 peratus tahun 1995 pada 7.1 peratus tahun 2010. Itu statistik sepuluh tahun lalu, sekarang mungkin semakin kecil.
Sebenarnya agak pelik juga memikirkan ayam yang kelaparan dalam kepuk beras. Negara kita bukan Singapura yang tidak cukup tanah. Negara kita terlebih tanah hingga terbiar. Walaupun banyak tanah terbiar, banyak pula bahan makanan terpaksa diimport.
Dalam keadaan sekarang kita lupakan dulu sumbangan pertanian dalam KDNK. Perkara penting dan perlu segera dilaksanakan ialah mengecilkan kebergantungan pada import bahan makanan. Daging lembu salah satu contoh yang barangkali boleh membuka mata banyak pihak. Kalau dapat mengecilkan import daging lembu pun dianggap satu kejayaan yang besar.
Tidak ada ertinya kita memperagakan Malaysia sebagai syurga makanan tetapi hampir semua bahannya dibawa dari luar negara. Maka tidak hairanlah jumlah import bahan makanan mencecah RM45.4 bilion pada 2015. Adakah mengimport lebih menguntungkan termasuk dalam erti kata keselamatan?
Ini hanyalah pandangan sepuluh sen saya yang tercetus daripada kontroversi sindiket pemalsuan sijil halal. Saya sebenarnya sangat bimbang dengan keadaan sekarang – serba serbi bahan makanan diimport.