TERSIAR sebuah laporan berita khas yang mendedahkan mengenai rancangan sebuah parti pembangkang untuk memberikan insentif kepada ahli yang mampu memburuk-burukkan kerajaan semasa krisis COVID-19 ini. Saya masih berbaik sangka tetapi jika benar laporan ini, maka ini memang sesuatu yang sangat jelek dan menghinakan ketika rakyat sedang bertarung berdepan wabak yang fatal ini.
Jika inilah yang ada pada pemikiran parti berkenaan, maka memang layaklah mereka diletakkan sejauh-jauhnya dari sudut pemikiran dan jiwa rakyat Malaysia. Jelas mereka tidak ada sifat kepimpinan yang terbuka dan berjiwa besar tetapi lebih kepada gila dan dahagakan kuasa.
Baru-baru ini, sudah ada antara pimpinan parti yang sama yang terbabas menyebarkan berita palsu berbentuk video yang boleh mencetuskan panik ketika rakyat sedang dalam kerisauan yang tinggi kerana penularan COVID-19 ini. Namun, akhirnya video tersebut ditarik balik setelah mendapat kecaman yang teruk oleh netizen.
Saya minta agar pimpinan parti berkenaan banyakkan mengucap dan beristighfar. Marilah kita bersama-sama bersolidariti untuk memastikan pandemik ini terhapus, tamat dan akhirnya rakyat dapat diselamatkan.
Berhentilah bermain politik murahan sekurang-kurangnya buat seketika waktu kerana rakyat pun berasa mual dengan gelagat orang politik sejak 22 bulan lepas.
Semoga Allah selamatkan kita segala bahaya dan fitnah. Wallahu’alam.
Hj Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)