Umum mengetahui hijrah membawa maksud meninggalkan perkara tidak baik kepada perkara yang lebih baik. Manusia dikatakan berhijrah sekiranya memenuhi dua syarat iaitu meninggalkan suatu perkara dan menuju kepada perkara yang lain.
Kedua-duanya harus dipenuhi oleh seseorang yang berhijrah. Meninggalkan segala hal yang buruk, negatif, maksiat, keadaan yang tidak selesa, menuju keadaan yang lebih yang lebih baik, positif dan keadaan yang selesa untuk menegakkan ajaran Islam.
Allah memerintahkan orang beriman berhijrah kepada yang lebih baik sebagaimana firmanNya di dalam al-Quran;
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” Qs. Al-Baqarah 2:218).
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan (Qs. At-Taubah, 9:20)
Daripada dua potongan ayat ini ternyata bahawa:
1. Hijrah perlu diniatkan karena Allah dengan tujuan mengharap keridhaan Allah semata-mata.
2. Mukmin yang sejati sentiasa berhijrah untuk memperolehi pengampunan Allah, memperolehi keberkatan rezeki atau nikmat dan kemenangan di sisi Allah.
3. Hijrah dan jihad perlu sentiasa dilakukan dengan mengorbankan apa yang kita miliki, termasuk jiwa dan harta benda
Marilah kita berhijrah daripada empat perkara berikut:
1. Hijrah I’tiqadiyah iaitu hijrah keyakinan. Iman kita bersifat naik turun. Ada masanya naik menuju puncak keyakinan mukmin sejati dan ada kalanya turun dan mendekati kekufuran Iman. Oleh itu kita kena sentiasa awasi keyakinan kita kepada Allah agar tidak tergelincir ke jurang kekufuran.
2. Hijrah Fikriyah iaitu hijrah pemikiran. Serangan pemikiran dalam dunia maya sangat menggerunkan ketika ini. Fahaman liberal, pluralisma agama, budaya hedonism, LGBT dan sebagainya terus mempengaruhi pemikiran manusia di mana sahaja mereka berada. Ia menjadi virus ganas yang terus meracuni pemikiran terutama remaja kita sehingga mereka tidak boleh membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Seperti mana yang telah diingatkan oleh baginda Rasulullah Saw dalam sabdanya;
“Umatku niscaya akan mengikuti (budaya, pemikiran, tradisi, gaya hidup) orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta-demi sehasta, sehingga mereka masuk ke lubang biawak pasti umatku mengikuti mereka. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah apakah mereka itu orang-orang Yahudi dan Nasrani ? Rasulullah menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”
3. Hijrah Syu’uriyyah yang membawa maksud cita rasa, kesenangan, kesukaan dan seumpamanya. Ramai manusia yang mengaku umat Islam terpengaruh oleh nilai-nilai yang tidak selari dengan ajaran Islam. Seperti hiburan, muzik, bahan bacaan, gambar/hiasan, rumah, idola dan sebagainya. Begitu juga dengan gaya pakaian yang telah jelas bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW , dimana dalam Islam fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat bukan mendedahkan aurat seperti zaman jahiliah.
4. Hijrah Sulukiyyah yang bererti tingkah laku atau keperibadian. Seharusnya kita mencontohi keperibadian Rasulullah dan para sahabat baginda dan meninggalkan segala perbuatan yang tidak bermoral dan akhlak yang buruk seperti mencuri, membunuh, rasuah, pecah amanah dan lain-lain lagi.
Sentiasalah kita bermuhasabah diri dengan kehadiran tahun baru hijrah ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW;
“Hisablah (lakukan perhitungan atas) dirimu sebelum dihisab oleh Allah, dan lakukanlah kiraan amal baik dan amal buruk mu sebelum Allah memberikan kiraan amal atas dirimu.
Semoga tahun baru ini dapat memenuhi setiap detik kehidupan kita dengan mencari keredhaan Allah. Kita berubah daripada sudut iktikad (keyakinan), fikriyah (pemikiran), syuuriyyah (cita rasa) dan sulukiyyah (tingkah laku) kepada apa yang telah digariskan oleh Islam dan dibawa oleh Rasulullah SAW.
Semoga kita menjadi salah satu batu-bata yang menguatkan bangunan Islam bukan menjadi elemen yang menyebabkan Islam dipandang hina dan rendah.
Jaafar bin Suradi
Yang Dipertua Isma
Cawangan Port Dickson