oleh: Mohammed Rasheedan bin Ellin
SUNGAI BULOH, 29 Feb – “Kita (doktor) perlu kuasai kemahiran asas seorang manusia dan melengkapi diri kita dengan pelbagai nilai tambah untuk menghadapi cabaran dunia perubatan pada masa sekarang dan akan datang”, kata Dr Ahmad Muslim bin Ahmad Roslan, Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur dalam sebuah program bersama sukarelawan I-Medik, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Buloh semalam.
“Jika anda buka dan mendaftar aplikasi Facebook pada hari ini, anda boleh dapati ia telah mempunyai lebih dari 70 pilihan untuk gender sahaja. Ini merupakan satu cabaran besar bagi pegawai perubatan dan kesihatan, tentang bagaimana kita berhadapan dengan masyarakat yang semakin kompleks”, tambah beliau lagi.
Beliau yang mewakili I-Medik Kuala Lumpur hadir untuk menerangkan hala tuju I-Medik bagi tahun 2020 kepada para sukarelawan. Menurut beliau, agenda dan program yang ditawarkan I-Medik boleh menjadi platform untuk mahasiswa perubatan dan kesihatan mengasah kemahiran baru dan memberikan nilai tambah dalam diri mereka.
“Kemahiran komunikasi contohnya, suatu kemahiran asas yang sangat penting, lebih-lebih lagi untuk kita bergelar seorang doktor dan pegawai kesihatan. Kegagalan berkomunikasi dengan baik berkemungkinan menyebabkan pesakit kita tidak menerima rawatan yang sebetulnya”, tambah beliau lagi.
Program yang dihadiri lebih 30 sukarelawan mahasiswa perubatan UiTM Sungai Buloh ini turut juga diserikan dengan kehadiran ahli jawatankuasa cawangan I-Medik Kuala Lumpur.