“Ummat Joykiller.”
Anda ingat istilah ini baru? Kaum Nabi Luth a.s. dah guna label yang sama beribu tahun dulu. Allah SWT siap abadikan dalam al-Quran.
Ada orang kata dakwah dengan teguran ni semua joykiller. Sejak bila ini?
Mari aku beritahu satu benda. Alang-alang cakap pasal joykiller, mudah je.
Anda nak seronok, nak melompat, nak berjimba sampai muntah, pakai baju separuh bogel, korang kata tu “hak asasi”.
Tapi jangan lupa kita berpijak dekat bumi mana. Perlembagaan negara ni sendiri letak Islam sebagai agama Persekutuan. Malaysia tetap sebuah Negara Islam.
Bila kena tegur, melatah. Melambong.
Yang rasa bersalah, rasa berdosa, alhamdulillah. Tanda hati masih hidup.
Yang tak sedar diri, makin kuat “joy” dia. Macam tanah air ini tak ada pegangan agama dibuatnya.
Sikit-sikit kata pendakwah ini suka kaitkan dengan sembah setan la, konspirasi itu ini la. “Takpe, joy je dulu.”
Okay. ambil nafas sejenak. Jom, baca kisah umat yang diazab. Satu je cukup. Tak perlu banyak-banyak kalau teguran pun tak nak dengar.
Kaum Nabi Luth buat perbuatan keji yang tak pernah dibuat umat sebelum mereka, iaitu hubungan sejenis. Nabi Luth tegur, berulang kali. Apa jawapan mereka?
وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوهُمْ مِنْ قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
Maksudnya : Dan tidak ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata: Usirlah mereka dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang mahu membersihkan diri.
(Surah al-A’raf 7: 82)
Ayat ni mereka cakap dalam nada mengejek. Lebih kurang macam kita sebut “alim sangat la tu”. Itulah versi purba “joykiller”. Yang tegur dihalau, maksiat diteruskan, joy didahulukan.
Lepas itu apa yang berlaku? Allah Berfirman :
فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيلٍ مَنْضُودٍ مُسَوَّمَةً عِنْدَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ
Maksudnya : Maka apabila datang perintah Kami, Kami jadikan negeri itu terbalik, yang atas jadi bawah, dan kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang dibakar, bertubi-tubi. Batu yang bertanda di sisi Tuhanmu. Dan azab itu tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim.
(Surah Hud 11 : 82-83)
Ayat akhir surah di atas, Allah SWT tidak mengatakan azab untuk kaum Luth sahaja. Tetapi rumah yang mereka bina untuk seronok-seronok, itulah yang jadi kubur dorang. Peringatan ditolak, akhirnya bertukar jadi azab.
Jadi adakah Islam ini anti joy? Tidak. Allah SWT sendiri suruh umat bergembira:
قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya : Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dengan itulah hendaknya mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.
(Surah Yunus 10:58)
Tapi ada satu jenis joy yang Allah SWT sebut sebagai punca azab:
ذَٰلِكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَفْرَحُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَبِمَا كُنْتُمْ تَمْرَحُونَ
Maksudnya : Yang demikian itu disebabkan kamu dahulu bersuka ria di muka bumi tanpa hak, dan kerana kamu bermegah-megah melampau.
(Surah al-Mu’min 40:75)
Jadi yang menjadi masalah bukan joy tu sendiri. Masalahnya joy “bighairil haq”, joy yang melanggar batas.
“Ala, ni hak aku. Dosa aku, aku tanggung la.”
Rasulullah SAW dah jawab 1400 tahun dulu. Baginda umpamakan kita semua macam penumpang satu kapal. Orang tingkat bawah nak ambil air, kena lalu tingkat atas. Dorang kata, “Apa kata kita tebuk je lubang dekat bahagian kita, tak susahkan orang atas.”
مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ … فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا
Maksudnya : Perumpamaan orang yang menjaga batasan Allah dan orang yang melanggarnya, seperti satu kaum yang berundi tempat di atas sebuah kapal… Jika mereka biarkan golongan itu buat apa yang dimahukan, binasalah mereka semua. Dan jika mereka tahan tangan golongan itu, mereka selamat dan selamatlah semuanya.
(Riwayat al-Bukhari, no. 2493)
“Aku tebuk lubang dekat bahagian aku sendiri.” Tu la hujah “hak asasi” korang. Tapi kapal ini kita naik sama-sama. Kalau tenggelam, semua tenggelam.
Jadi yang tegur tu bukan joykiller. Dia orang yang tak nak kapal ni karam.
Kalau lepas baca semua ni korang masih rasa amar makruf nahi mungkar tu joykiller, teruskan la. Tapi bukan atas tanah air ni.
Bumi bertuah ni nak tengok generasi yang kuat, berdaulat, hidup ikut syariat.
Mohamad Anwar Shahir Bin Abdul Shukor
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)


