Calon Muslim mesti diangkat di Tanjung Piai

Pemergian bekas ahli parlimen Tanjung Piai iaitu allahyarham Dr Md Farid Md Rafik mengejutkan kita semua. Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga beliau terlebih dahulu.

Kekosongan kerusi parlimen bagi Tanjung Piai telah mencetuskan perbincangan yang hangat dalam kalangan warganet dan malah pimpinan politik terutamanya dalam blok pembangkang yang ingin merampas kerusi ini. Kerusi ini boleh dikira sebagai ‘kerusi panas’ kerana Pakatan Harapan memenangi kerusi ini dengan majoriti yang tipis buat kali pertama.

Setelah sekian lama DAP bertanding bagi merebut kerusi Tanjung Piai ini, mereka tidak pernah berjaya. Akhirnya apabila mereka memberikan laluan kepada Bersatu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), blok mereka berjaya merampas kerusi ini. Maka, Bersatu mempunyai hujah yang kuat untuk kekal merebut kerusi ini pada PRK Tanjung Piai kali ini. Maka, saya pasti blok kerajaan akan menghantar seorang calon Muslim dalam PRK kali ini.

Penulisan kali ini merupakan pendapat saya tentang sebab-sebab parti-parti politik terutamanya blok pembangkang perlu mengetengahkan calon Muslim yang berwibawa pada PRK Tanjung Piai ini.

Majoriti pengundi P165 Tanjung Piai adalah Muslim

Seorang pemimpin yang diangkat mestilah dalam kalangan kelompok majoriti demi kestabilan dan kesejahteraan. Maka, kawasan yang majoriti pengundinya Muslim berhak diwakili oleh seorang Muslim.

Malah, kita masih belum nampak mana-mana kerusi majoriti pengundinya adalah bukan Muslim diwakili oleh seorang Muslim. Kenapa kita mahu menjadi apologetik?

Berdasarkan data PRU14, demografi pengundi P165 ialah:

  • Melayu: 57%
  • Cina: 42%
  • India: 1%

Bayangkan, andainya seorang pemimpin bukan Muslim menentang suatu usul yang berkaitan kepentingan Islam di parlimen tetapi beliau mewakili kawasan majoriti Muslim. Takkan kita mahu guna hujah “biasalah, dia tak sokong Syariah sebab dia bukan Islam”. Tidak ini satu hipokrasi yang mengkhianati rakyat?

Oleh itu, pengundi di Tanjung Piai berhak untuk diwakili oleh seorang Muslim. Maka, mempertaruhkan calon-calon Muslim di kerusi ini adalah tanggungjawab parti-parti politik.

Jangan ganti pemimpin Muslim dengan bukan Muslim

Yang menariknya pada PRU lepas ialah kerusi yang selama ini disandang oleh seorang bukan Islam dari MCA, berjaya dirampas oleh seorang Muslim.

Secara prinsip umumnya, tidaklah layak apabila hilangnya seorang pemimpin Muslim itu diganti dengan seorang bukan Muslim, lebih-lebih lagi jawatan itu adalah jawatan penggubal dasar iaitu ahli Dewan Rakyat.

Soal kewibawaan allahyarham itu adalah soal lain kerana secara prinsip dalam Islamnya, seorang Muslim itu lebih layak memimpin berbanding seorang bukan Muslim. Jika kewibawaan menjadi satu pertikaian, maka inilah masanya untuk mengetengahkan seorang calon Muslim yang benar-benar berwibawa.

Bayangkan, apabila calon-calon Muslim yang berwibawa dihidangkan kepada rakyat pada pilihan raya. Tidakkah ini satu pertandingan yang sihat?

Medan untuk menguji kesetiaan dan keikhlasan MCA

Kita seringkali mendengar MCA mengugut Umno untuk keluar BN apabila tuntutan-tuntutan mereka tidak dipenuhi. Malah, ugutan sebegini lebih ketara apabila Umno sedang lemah semasa BN baru sahaja kalah dalam pilihan raya.

Saya berpendapat bahawa PRK kali ini juga merupakan satu medan ujian bagi menguji kesetiaan dan keikhlasan MCA lebih-lebih lagi apabila mereka sanggup bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional walaupun MCA merupakan antara musuh tegar PAS selain DAP.

MIC sudahpun membuktikan kesetiaan dan keikhlasan mereka dengan menyerahkan kerusi yang disandang mereka di Cameron Highlands. Adakah MCA mempunyai jiwa sebesar MIC?

MCA perlu fokus pada kerusi ‘tradisi’ tinggalan Gerakan

Ada yang menggunakan hujah bahawa PRK kali ini adalah ujian kepada Umno dan PAS bagi membuktikan bahawa mereka tidak rasis dan bukan hanya untuk orang Islam dengan memberikan MCA laluan. Namun, saya berpendapat sebaliknya.

Kita semua maklum bahawa Gerakan telah meninggalkan BN. Maka, mereka telah meninggalkan vakum yang besar di ‘kerusi-kerusi tradisi’ GERAKAN. Berdasarkan PRU-14 yang lalu, Gerakan telah bertanding di sebanyak 10 kerusi parlimen dan 16 kerusi DUN dan semuanya adalah kawasan majoriti pengundi cina. Maka, ‘menyerahkan’ kerusi Tanjung Piai kepada rakan parti komponen bukanlah satu kerugian besar.

Akar umbi masyarakat mahukan pemimpin Muslim yang terbaik

Baru-baru ini, Umno Tanjung Piai sebulat suara menyeru agar pimpinan atasan Umno menghantar calon tempatan dari Umnp untuk bertanding pada PRK kali ini. Ini menunjukkan keinginan kuat akar umbi Umno untuk menghantar calon. Semestinya calon dari Umno adalah seorang Muslim, jika dibandingkan dengan MCA yang mustahil akan mencalonkan seorang Cina Muslim.

Kempen Vote Muslim First atau Undi Calon Muslim Berwibawa yang digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dari warganet mahupun akar umbi masyarakat Melayu di Tanjung Piai.

Kajian lapangan yang dilakukan mereka juga membuktikan sedemikian. Ini termasuklah kesediaan penyokong BN dari masyarakat cina untuk kekal menyokong calon BN walaupun Umno bertanding sekalipun. Malah, kajian tersebut juga menyatakan bahawa BN mempunyai kelebihan jika mengetengahkan calon Muslim.

Kandungan Piagam Muafakat Nasional

Pimpinan parti-parti dalam Muafakat Nasional terutamanya Umno dan PAS perlu menghayati kembali roh Piagam Muafakat Nasional yang mahu memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

Suara dan dominasi politik Islam sedang melemah, terutamanya di parlimen. Adakah dengan meletakkan calon bukan Islam sekaligus berusaha memenangkannya sudah melanggar piagam yang telah termenterai?

Akhir sekali, saya berharap agar calon-calon Muslim dapat diketengahkan oleh semua blok parti untuk rakyat pilih. Calon yang dihantar mestilah berwibawa, berintegriti dan mempunyai agenda untuk kepentingan Islam dan Bumiputera.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat