Dalam laman sosial, kecoh dengan rungutan sebilangan ibu ayah tentang kerja sekolah yang diberikan oleh guru kepada anak-anak di rumah sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Terhad (PKP) ini diadakan.
Tidak kurang juga ada yang menyalahkan guru kerana memberikan kerja sekolah yang terlalu banyak kepada anak-anak sehingga menimbulkan rasa tekanan dalam kalangan ibu bapa.
Perkara yang menambahkan berat kepala dalam kalangan ibu ayah apabila kerja sekolah tersebut memerlukan penggunaan gadjet seperti telefon pintar dan laptop kerana murid-murid perlu mengakses kerja sekolah yang diberikan menggunakan medium atas talian (online).
Keserabutan tersebut bertambah apabila, ibu ayah perlu menguruskan bukan seorang dua tetapi lima orang anak serentak untuk menggunakan gadjet bagi melunaskan kerja sekolah.
Perkara tersebut menyebabkan sebilangan ibu ayah yang memarahi guru, tidak kurang juga mengambil tindakan drastik sehingga meninggalkan kumpulan di aplikasi whatsapp kerana tidak tahan dengan situasi tersebut.
Perkara ini mendapat perhatian daripada Pengerusi Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan yang juga seorang guru di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan.
Ujar bapa kepada enam orang anak ini keserabutan ibu ayah itu ada benarnya, apabila kemudahan seperti telefon pintar dan laptop perlu digunakan oleh anak yang ramai yang menyebabkan berlaku perebutan.
“Perkara ini memang kita sebagai guru sudah jangka akan menjadi masalah, tetapi itu bukan menjadi alasan kerana pihak sekolah sendiri telah aturkan jadual waktu supaya anak-anak di rumah dapat mengamalkan sistem giliran.
“Dari segi medium pengajaran dan pemudahcaraan (PnPc) pula ianya tidaklah tertakluk kepada atas talian sahaja, kerana ianya boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti kerja rumah perlu di hantar dalam group whatsapp, email dan sebagainya mengikut kesesuian.
“Sebaga guru, kami sudah diberi kelonggaran dari segi medium penyampaian dan akan memberikan tugasan yang tidak membebankan murid-murid” katanya yang turut mengendalikan kelas atas talian kepada para pelajarnya.
PnPc dalam tempoh PKP adalah arahan KPM
Sementara itu, mengikut surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta pelaksanaan Pengajaran danpembelajaran (PnPc) tetap berjalan sepanjang tempoh PKP ini mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Antaranya guru mesti merancang, menyedia dan menyampaikan bahan PnPc mengikut keupayaan murid.
Manakala ibu bapa di minta untuk menyokong proses pelaksanaan tersebut dalam tempoh PKP.
Justeru itu katanya, segala PnPc dan kerja sekolah yang diberikan oleh guru kepada murid-murid sepanjang tempoh PKP adalah atas arahan KPM.
Ambil pendekatan komunikasi dengan guru untuk selesaikan masalah
Selain itu juga, Ustaz Azizee meminta jasa baik ibu ayah untuk sama-sama ambil peranan membantu anak-anak dalam setiap tugasan dalam tempoh PKP ini.
“Selaku ibu ayah tolong pantau sahaja PnPc yang berjalan, jika tidak faham boleh tanya cikgu.
“Jika ada perkara yang membebankan sila berbincang dengan guru,” kata bapa kepada enam orang anak ini.
Selaku ayah, Ustaz Azizee tidak terkecuali menghadapi situasi yang sama seperti ibu ayah yang lain, tetapi baginya PnPc semasa PKP ini adalah lebih baik kerana dapat mengisi masa lapang anak-anak daripada perkara yang tidak bermanfaat.