Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa kadar kelahiran di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 11.5% pada suku pertama tahun 2025. Laporan tersebut turut memaparkan pecahan kadar kelahiran mengikut kaum, termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa negara sedang berdepan dengan krisis kadar kelahiran yang serius. Ia sewajarnya menjadi satu isyarat penting atau “wake up call” kepada pihak kerajaan dan masyarakat untuk segera mengambil langkah intervensi bagi membendung isu ini sebelum menjadi lebih parah.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius isu penurunan kadar kelahiran yang semakin membimbangkan.
ISMA berpendapat bahawa perubahan peranan wanita dalam masyarakat masa kini merupakan antara punca yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di Malaysia.
Peralihan peranan wanita di Malaysia daripada ibu rumah tangga kepada tenaga buruh wanita
Sistem liberal kapitalisme menyusun para wanita untuk turut serta bekerja dalam industri bagi menjana ekonomi, dengan kadar yang sama seperti lelaki.
Antara intipati dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2020-2025 (RMK-12) adalah meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bertujuan untuk menjana pendapatan keluarga.
Laporan menunjukkan trend peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita, daripada 55.3 peratus pada 2020 kepada 55.5 peratus pada 2021 dan 55.9 peratus pada tahun 2022. Terkini, sehingga April 2025, KPTB wanita menunjukkan peningkatan kepada 56.2 peratus. Ramai wanita mula bekerja dalam pelbagai sektor awam mahupun swasta.
Hal ini adalah perkara yang membanggakan bagi kerajaan, akan tetapi, tanpa sedar ia telah memberi implikasi kepada keseimbangan institusi keluarga. Meletakkan wanita sebagai pekerja industri yang sama taraf seperti lelaki, seperti mewajibkan cukai pendapatan dengan kadar yang sama, mengira pendapatan mereka sebagai pendapatan isi rumah yang mana ia memberi isyarat mereka patut menanggung beban kewangan dan kepimpinan keluarga setaraf suami.
Dalam Islam, wanita sangat dihormati dan diberikan peranan yang istimewa dalam keluarga. Mereka dikenali sebagai Rabbatul Bait, iaitu permaisuri rumah tangga, dan juga Madrasatul Ula, iaitu sekolah pertama bagi anak-anak.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya… Lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan dipertanggungjawabkan. Seorang wanita memimpin rumah suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepemimpinannya.” [HR Bukhari].
Petikan “wanita memimpin rumah suami dan anak-anaknya” ini menunjukkan bahawa peranan utama seorang wanita adalah mengurus rumah tangga, menjaga harta suami, membentuk suasana rumah yang tenang, mendidik anak-anak dan menjaga keharmonian keluarga. Inilah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Trend Perkahwinan Lewat Usia
Wanita kini semakin mengejar kerjaya, ekonomi dan boleh berdikari. Hal ini demikian, mempengaruhi keputusan mengenai perkahwinan dan hidup berkeluarga. Wanita lebih memilih untuk memberi fokus yang lebih kepada fungsi menjana pendapatan, memajukan kerjaya, serta mengukuhkan kemampuan ekonomi sebelum mendirikan rumah tangga. Laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) (KPKM-5) menunjukkan peningkatan ketara wanita bujang berumur 25–29 tahun, malah lebih sejuta wanita di Selangor berusia 30 tahun ke atas masih belum berkahwin. Perkahwinan lewat usia ini memberi kesan secara langsung terhadap tahap kesuburan wanita, menjadikan peluang untuk hamil semakin rendah seiring pertambahan usia. Usia subur wanita adalah pada 20-25 tahun. Kesuburan wanita akan beransur-ansur menurun pada usia 30 tahun, dan kehamilan pada usia 35 tahun keatas mempunyai risiko-risiko tersendiri.
Penurunan Kadar Kesuburan Keseluruhan (TFR)
Data menunjukkan kadar kesuburan di Malaysia menurun daripada 2.1 anak setiap wanita pada 2010 kepada 1.7 pada 2023, berada di bawah paras penggantian populasi. Ini bermaksud, purata antara 1 ke 2 anak dalam satu keluarga. Lebih membimbangkan, kajian mendapati 60 peratus keputusan analisis sperma lelaki muda (2010–2019) menunjukkan masalah kesuburan. Ini bermakna bukan sahaja wanita, malah lelaki turut berdepan isu kesuburan. Antara faktor yang menyumbang kepada penurunan TFR ini adalah isu perkahwinan lewat usia, tekanan kerja dari aspek fizikal dan mental serta terdedah kepada pelbagai penyakit di usia yang lewat.
Malaysia kini mencatat kadar kesuburan yang rendah, setanding dengan negara-negara maju lain seperti Jepun (1.3 anak per wanita), China (1.3) dan Singapura (1.1) pada tahun 2022.
Trend Pasangan Muda Memilih Untuk Childless atau Childfree
Selain itu, penglibatan wanita dalam sebagai tenaga buruh menyumbang kepada perubahan saiz keluarga. Jika dahulu satu keluarga mempunyai purata 6 ke 7 bilangan anak, kini semakin banyak pasangan memilih untuk menghadkan bilangan anak antara satu hingga tiga orang sahaja. Hal ini disebabkan, tekanan yang dihadapi oleh wanita bekerjaya di samping mengurus rumah tangga.
Selain itu, Laporan LPPKN dan DOSM menunjukkan bahawa ramai juga pasangan muda memilih untuk tidak mempunyai anak. Trend childfree ini mula mendapat perhatian sejak pertengahan tahun 2010-an, terutamanya dalam kalangan generasi milenial dan Gen Z. Generasi muda hari ini melihat anak sebagai satu komitmen besar yang sukar diimbangi dengan tekanan kerja dan kehidupan peribadi. Kos sara hidup yang tinggi, pengaruh media sosial, trauma masa lalu serta kekurangan pengetahuan tentang pengurusan rumah tangga menjadikan ramai yang lebih selesa untuk tidak mempunyai anak.
Hukum wanita bekerja dalam Islam
Dalam fiqh mazhab syafie, hukum wanita keluar bekerja adalah harus selagi mana wanita itu mendapat keizinan daripada suaminya, tidak menjejaskan peranan utama sebagai pengurus rumah tangga, menjaga aurat dan maruah serta bekerja dalam bidang yang halal dan tidak terdedah kepada fitnah. Namun, keharusan ini boleh berubah menjadi makruh atau haram apabila syarat-syarat ini tidak dipenuhi. Ulama berpendapat “Jika bekerja menyebabkan isteri mengabaikan hak suami dan anak-anak, ia dosa dan boleh menjadi nusyuz (derhaka).
Konsep rumah tangga dalam Islam dibina berlandaskan fitrah manusia dan sangat sesuai dalam menjaga kestabilan institusi kekeluargaan. Setiap ahli keluarga memiliki peranan tersendiri yang saling melengkapi antara satu sama lain. Namun, jika peranan ini diabaikan, ia boleh membawa implikasi buruk terhadap institusi keluarga seperti yang sedang kita hadapi hari ini, iaitu kemerosotan kadar kelahiran. Apabila struktur peranan dalam rumah tangga mula kabur, ramai yang memilih untuk menangguh atau menolak perkahwinan dan zuriat, lalu memberi kesan jangka panjang kepada keseimbangan demografi negara.
Mengembalikan Peranan Wanita sebagai Rabbatul Bait dan Madrasatul Ula
Dalam menangani kemelut krisis kelahiran negara hari ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melalui Ucapan Dasar Presiden baru-baru ini mengangkat Manhaj Islam (sistem hidup mengikut syariat Islam) sebagai solusi. Agenda utama dakwah ISMA adalah mengembalikan cara hidup masyarakat mengikut acuan dan undang-undang Islam.
ISMA juga melihat sistem ekonomi yang dikawal oleh prinsip kapitalis yang rakus ini telah memporak perandakan peranan jantina yang akhirnya membebankan wanita dengan peranan yang tidak mampu ditampung olehnya. Akhirnya, wanita yang berkerjaya memilih untuk melewatkan perkahwinan, tidak memiliki anak mahupun merancang untuk memiliki sedikit anak sahaja. Isu kesuburan lelaki dan wanita masa kini juga memberi impak secara langsung pada kemerosotan kadar kelahiran di Malaysia pada tahun ini.
Oleh sebab itu, penting untuk wanita memahami dan menyedari peranan sebenar mereka seperti yang telah ditetapkan oleh syarak. Wanita bukan sekadar pelengkap dalam keluarga, malah mereka adalah pemimpin dalam rumah tangga dan pendidik utama anak-anak. Kesedaran ini penting kerana setiap individu akan dipersoalkan di akhirat kelak tentang peranan dan tanggungjawabnya. Apabila seorang wanita tahu peranan utamanya, dia akan lebih jelas untuk memberi fokus kepada perkara yang paling utama bukan sekadar mengejar kerjaya atau pencapaian luaran semata-mata.
Pada masa yang sama, suami perlu memainkan peranan sebagai qawwam pelindung, penyedia, dan pemimpin dalam keluarga. Suami yang bertanggungjawab akan memberikan ruang, masa dan sokongan penuh kepada isteri untuk melaksanakan peranan utamanya dengan tenang. Hakikatnya, seorang isteri hanya dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu dengan baik apabila suaminya terlebih dahulu melaksanakan tugas suami dengan baik. Apabila suami benar-benar memimpin, melindungi dan menyediakan keperluan asas keluarga, barulah isteri dapat fokus kepada urusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak tanpa tekanan berganda. Inilah keseimbangan peranan yang digariskan oleh Islam.
Penerapan kefahaman tentang peranan besar wanita dan lelaki dalam institusi keluarga ini perlu dimulakan sejak peringkat sekolah. Pendidikan awal yang menekankan nilai tanggungjawab, peranan dalam rumah tangga, dan erti kepimpinan dalam keluarga akan membantu membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi alam perkahwinan. Dalam masa yang sama, badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran ini kepada masyarakat umum melalui program pendidikan, kempen kesedaran dan latihan keibubapaan.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga & Masyarakat perlu menilai semula hala tuju program pemerkasaan wanita agar selari dengan fitrah dan peranan asal wanita seperti yang digariskan oleh agama dan budaya tempatan. Pemerkasaan wanita tidak sepatutnya hanya difokuskan kepada aspek penyertaan wanita dalam tenaga buruh atas nama sumbangan kepada ekonomi negara. Pendekatan sebegini boleh menjurus kepada eksploitasi peranan wanita dan memberi tekanan berganda kepada mereka, terutama apabila mereka turut memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dalam masa yang sama.
Akhir sekali, kerajaan wajar menilai semula sistem kiraan pendapatan isi rumah. Pendekatan menggabungkan pendapatan suami dan isteri dalam menentukan kelayakan bantuan atau polisi ekonomi boleh memberi tekanan tidak langsung kepada wanita untuk terus bekerja. Ini seterusnya mempengaruhi cara fikir dan peranan sebenar suami isteri dalam keluarga. Justeru, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar institusi keluarga kembali berpaksikan fitrah dan nilai Islam yang sebenar.
Aisyah binti Abdullah Zaik
Unit Kajian & Penerangan Biro Keluarga & Masyarakat ISMA


