Covid-19 Bukan Penghalang Buat Pemburu Pahala

Sudah hampir sembilan bulan kita bertarung dengan pandemik Covid-19. Sehingga semalam jumlah kumulatif kes sudah melebihi 59 ribu. Kes harian pula sudah mencapai empat angka. Satu situasi yang belum dapat memberi helaan nafas lega buat kita semua. Sama-samalah kita menadah tangan dan memohon pada Allah agar rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan dengan segera.

Saya tidak bercadang untuk mengulas apa-apa yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 kerana sudah ramai pakar yang menulis tentangnya. Namun, apa yang saya ingin kongsikan hanyalah satu kisah biasa, tetapi mungkin ada sesuatu yang dapat dipelajari daripadanya.

Suatu malam, ketika bilal sudah selesai melaungkan azan Isya’dan para jemaah sedang mempersiapkan diri untuk melaksanakan solat sunat, tiba-tiba datang seorang ahli qariah  ke masjid. Seperti biasa dia terus ke pengimbas suhu yang diletakkan di tepi tiang masjid. Namun, pada malam tersebut nasib tidak menyebelahinya kerana dihalang oleh petugas dari masuk ke dalam dewan solat.

Hal ini kerana, bermula malam itu perlaksanaan ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) yang terkini baru saja dikuatkuasakan. Cuma dua puluh tiga orang jemaah sahaja dibenarkan bersolat di masjid iaitu mereka yang tersenarai dalam ahli jawatankuasa dan pegawai masjid sahaja.

Kemungkinan, maklumat tersebut tidak sampai kepada pengetahuannya. Maka sebab itulah para petugas terpaksa menghalangnya dari masuk dan dia tidak boleh ikut sama untuk solat isya’ berjemaah.

Biarpun wajahnya dilitupi pelitup muka, kekecewaan dan kesedihan yang dirasainya jelas terpancar. Tanpa banyak bicara perlahan-lahan dia beredar kerana akur dengan peraturan yang telah ditetapkan. Bilal melaungkan iqamah. Para Jemaah mula memenuhi saf untuk mendirikan solat Isya’. Ahli qariah tadi rupanya tidak segera pulang. Dia masih kekal berdiri di tempat letak motosikal dan memerhati dari jauh jemaah yang sudah mula mengangkat takbir.

Saya memahami perasaan hatinya. Dia selama ini amat konsisten bersolat jemaah di masjid. Setiap kali waktu solat pastinya dia di masjid. Namun, pada malam itu dia dan beberapa ahli qariah dinafikan hak untuk turut sama solat berjamaah.

Saya percaya kecintaan dan terpautnya hati mereka kepada masjid akan menjadi asbab mendapat naungan Allah di Mahsyar nanti sebagai salah satu dari tujuh golongan yang dinaungi pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan Allah.

Lalu saya teringat satu hadis yang di riwayatkan oleh Imam Muslim:

وعَنْ أبي عَبْدِ اللَّهِ جابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيِّ رضِيَ الله عنْهُمَا قَالَ :كُنَّا مَع النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم في غَزَاة فَقَالَ : «إِنَّ بِالْمَدِينَةِ لَرِجَالاً مَا سِرْتُمْ مَسِيراً ، وَلاَ قَطَعْتُمْ وَادِياً إِلاَّ كانُوا مَعكُم حَبَسَهُمُ الْمَرَضُ» وَفِي روايَةِ : «إِلاَّ شَركُوكُمْ في الأَجْرِ» رَواهُ مُسْلِمٌ ورواهُ البُخَارِيُّ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ :رَجَعْنَا مِنْ غَزْوَةِ تَبُوكَ مَعَ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم فَقَالَ: «إِنَّ أَقْوَامَاً خلْفَنَا بالمدِينةِ مَا سَلَكْنَا شِعْباً وَلاَ وَادِياً إِلاَّ وَهُمْ مَعَنَا ، حَبَسَهُمْ الْعُذْرُ».

Dari Abu ‘Abdillah Jabir bin Abdillah al-Ansari Rodhialllah hu ‘anhuma, ia berkata kami pernah bersama Nabi SAW dalam satu peperangan. Kemudian beliau bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ada beberapa orang yang apabila kamu menempuh jalan atau melalui lembah niscaya mereka sentiasa bersama kamu, yang menghalang mereka bersama kamu hanyalah penyakit.” Dan dalam satu riwayat disebutkan: “Melainkan mereka sentiasa bersama kamu di dalam memperoleh pahala.” Diriwayatkan Imam Muslim dan al-Bukhari, dari Anas Radhiallahu anhu, ia berkata, semasa kami pulang dari peperangan Tabuk bersama Nabi SAW, lalu beliau bersabda: “Sesungguhnya ada beberapa orang yang kami tinggalkan di Madinah, tidaklah kita menempuh jalan-jalan di pergunungan atau melalui sebuah lembah, melainkan mereka sentiasa menyertai kami, yang mencegah mereka hanyalah halangan.”

Kemungkinan (Allahu A’lam) mereka yang dimaksudkan oleh Rasullullah SAW di dalam hadis di atas ialah mereka yang disebutkan di dalam Surah At-Taubah ayat 92:

وَلاَ عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لاَ أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّواْ وَّأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَناً أَلاَّ يَجِدُواْ مَا يُنفِقُونَ

“Dan tidak berdosa ke atas orang-orang yang datang menemui kamu supaya kamu memberi kenderaan kepada mereka, lalu kamu menjawab: Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu, lalu mereka kembali, sedangkan mata mereka melimpah dengan airmata kerana (sedih) tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan.”

Menurut satu riwayat dari al-‘Aufi dari Ibn Abbas katanya: Apabila Rasullullah SAW menyuruh kaum Muslimin tampil berperang bersama beliau (Perang Tabuk), lalu sekumpulan sahabat datang menemui beliau, di antara mereka termasuk Abdullah Ibn Mughaffal memohon supaya Rasullullah mengadakan kenderaan untuk mereka disebabkan mereka sendiri tidak mampu kerana kemiskinan. Rasullullah sendiri tidak mampu menyediakan untuk mereka. Mereka balik sambil menangis. Mereka begitu sedih kerana tidak dapat berjihad dan kerana tidak mempunyai belanja dan kenderaan. Apabila Allah melihat betapa tingginya kasih mereka kepada Allah dan RasulNya, maka Dia menurunkan ayat yang memaafkan keuzuran mereka dalam kitab sucinya. (Fi Zilal Al- Quran)

Dari petikan Hadis dan ayat A-Quran di atas, kita dapat memahami betapa pentingnya menghadirkan niat dan ikhlas dalam semua perbuatan dan percakapan, samada yang terang-terangan ataupun yang sembunyi. Ganjaran tetap diperolehi walaupun terdapat sekatan dalam melaksanakannya. Moga-moga dia dan ahli qariah  yang terhalang dari solat berjamaah diganjari sama seperti mereka yang bersolat di masjid walaupun dia solat di rumah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat