COVID-19 Gelombang Ketiga: Masa Untuk Kita Bersatu

Hampir setiap hari saya menjadi salah seorang dari puluhan ribu rakyat Malaysia yang setia menunggu dan mendengar dengan penuh tekun laporan siaran langsung dari laman muka buku Kementerian Kesihatan Malaysia tentang perkembangan kes COVID-19 di negara kita.

Saya juga sentiasa mengikuti rapat posting-posting terkini Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah yang pada hemat saya sangat komited dan berdedikasi dalam melaksanakan peranannya sebegai panglima perang COVID-19 di Malaysia ini.

Jika kita soroti kembali kronologi COVID-19 di Malaysia, ia bermula dengan pengesahan kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.

Sebanyak 22 kes dicatatkan dalam gelombang pertama. Kemudian, kita menghadapi gelombang kedua Covid-19 sekitar Mac 2020 yang lalu, dimana nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (R0) pada permulaan gelombang kedua adalah pada kadar 3.55. Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat selama beberapa minggu, Malaysia berjaya mengawal penularan yang berlaku dalam masa lebih kurang 100 hari.

Apakah itu nilai R dalam kaedah permodelan dan ramalan untuk sesuatu wabak?

R0 (R naught) adalah merujuk kepada kadar kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut. Misalnya, jika nilai R adalah 4, ini bermakna bahawa setiap seorang kes positif jangkitan virus boleh menyebarkan penyakit ini kepada 4 orang yang lain.

Menurunkan nilai R0 ke kurang daripada 1 secara berterusan, akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

Kini, seluruh negara diheret kembali ke medan peperangan menghadapai Covid-19 gelombang ketiga. Nilai R0 untuk permulaan gelombang ketiga 20 September 2020 adalah 2.2. Berdasarkan graf jangkaan, jumlah kes baru setiap hari boleh mencapai angka 5000 seandainya level R0 kekal pada kadar 2.2.

Dalam tempoh empat (4) minggu kita lihat nilai R0 ini telah menurun kepada 1.5. Walaupun begitu, sekiranya kadar kebolehjangkitan ini kekal pada nilai 1.5, kes baru yang dicatatkan setiap hari dijangka tetap tinggi di sekitar 1200-1300 kes pada penghujung Oktober nanti.

Peperangan kali ini tampak lebih mencabar walaupun Malaysia secara teknikalnya lebih bersedia dari segi kelengkapan perubatan, PPE dan polisi kesihatan awam. Mengapa? Pada pendapat saya ini disebabkan oleh beberapa fator berikut:

1. Kesinambungan Ekonomi
Penganalisa ekonomi telah menggelar krisis ekonomi yang berlaku akibat Covid-19 ini sebagai the black swan event, yang membawa maksud satu keadaan yang tak terjangka yang berlaku dan menyebabkan kesan yang besar terhadap ekonomi dan kehidupan. Sekitar bulan Mac sehingga Jun tahun ini, kita saksikan hampir semua negara di dunia mengambil langkah untuk menutup sempadan negara masing-masing dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan; termasuk menghadkan aktiviti sektor ekonomi dan sosial untuk mengekang penularan COVID-19. Walau bagaimana pun, keadaan sedemikian tidak boleh berterusan kerana akan boleh membawa kepada “economic calamity” atau keruntuhan sistem ekonomi sesebuah negara yang mungkin kesannya adalah lebih buruk lagi.

Maka kita lihat dalam menghadapi gelombang ketiga ini, untuk mencari titik keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan hidup; kerajaan terpaksa membuat keputusan untuk mengadakan Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk kawasan zon merah sahaja dan bukannya Kawalan Pergerakan menyeluruh seperti yang kita hadapi ketika gelombang kedua dahulu. Langkah ini akan menyebabkan masa yang diambil untuk meluruskan lengkung adalah lebih panjang.

2. Fatigue (Penat)
Kita gusar melihat keadaan para petugas dalam sektor kesihatan dan keselamatan yang menjadi pejuang barisan hadapan dalam peperangan ini. Mereka telah berhempas pulas 24/7 di medan sejak lebih 10 bulan yang lalu. Para petugas kesihatan terpaksa mengambil tanggungjawab yang berat selain daripada bekerja lebih masa untuk memastikan kebajikan pesakit terjaga. Tidak hairanlah seandainya ada sesetengah daripada mereka dilaporkan telah mengalami “mental and physical fatigue”.

Keadaan “fatigue” iaitu kelesuan atau kepenatan ini turut dialami oleh orang ramai. Mungkin kita sebelum ini tidak pernah mengalami pandemik bagi suatu jangka masa yang lama. Keadaan ini sekali gus mungkin mengakibatkan orang ramai fatigue (penat) untuk berdisiplin dalam mengamalkan SOP yang ditetapkan dan sekaligus boleh menyebabkan penularan COVID-19 semakin sukar untuk dikawal.

3. Salah persepsi tentang makna “Norma Baharu”
Kebanyakan kita mengharapkan fenomena ini hanya bersifat sementara dan bakal berakhir dalam waktu terdekat. Kita juga seolah-olah telah bersorak kemenangan ketika Malaysia berjaya mencatatkan tiada kes baru untuk beberapa hari pada bulan Julai yang lalu; walaupun hakikatnya pada ketika itu terdapat beberapa kluster yang masih aktif.

Sewaktu peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, kita sangat bersemangat dalam mematuhi segala SOP yang ditetapkan dan menyambut baik saranan pihak berkuasa untuk mengadaptasi kebiasaan baharu seperti penjarakan fizikal, pemakaian topeng muka, kerap membersihkan tangan, mengasingkan diri sekiranya mempunyai simptom, hanya keluar sekiranya perlu dan sebagainya.

Adapun begitu, norma baharu atau kebiasaan baharu ini tidak boleh dianggap hanya bersifat sementara. Kebiasaan baharu bermaksud tingkah laku yang baharu atau tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa; dalam usaha mengadaptasi keadaan baharu.

Hakikatnya, selagi mana vaksin yang benar-benar terbukti berkesan belum ditemui, kita perlu belajar untuk “hidup bersama” COVID-19 dan mengiktiraf kehidupan dengan kebiasaan baharu dalam erti kata yang sebenar. Walaupun vaksin telah ditemui nanti atau lengkung kes COVID-19 telah dapat diluruskan; sebaiknya kita terus mengamalkan norma baharu yang baik untuk kebersihan dan kesihatan kita seperti pemakaian topeng muka, kerap membersihkan tangan dan sebagainya. Sebagai contoh, rakyat Jepun telah mengamalkan penggunaan topeng muka sejak 100 tahun dahulu ketika menghadapi wabak selsema sekitar tahun 1919 dan mereka meneruskan pengamalan tersebut sehingga kini.

Selain itu, polisi yang digubal oleh pihak berkuasa juga perlu difikir secara komprehensif agar lebih bersifat lestari, sejahtera dan efektif untuk jangka masa panjang. Sebagai contoh; peperiksaan besar tidak boleh sekadar ditangguhkan-tangguhkan tanpa ada perancangan untuk pelaksanaan alternatif; kanak-kanak tidak boleh dihalang dari pergi ke masjid atau surau selama-lamanya.

Kesimpulannya, usaha menghadapi COVID-19 gelombang ketiga ini boleh dikatakan sebagai peperangan sebenar yang memerlukan setiap entiti dalam negara ini untuk bersatu-padu dalam menghadapinya. Orang ramai dinasihat supaya kekal berdisiplin dalam mengamalkan gaya hidup berpandukan norma baharu. Jadilah warga negara yng prihatin – hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya bagi golongan yang sangat terkesan akibat pandemik ini.

Para pemimpin negara pula perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan Negara dan kebajikan rakyat. Tumpukan sepenuh fokus dan komitmen untuk memberikan khidmat yang terbaik; bukan menambah “fatigue” di kalangan rakyat yang penat dengan pertelingkahan politik yang seakan tidak berkesudahan.

Ayuh Malaysia, bersama kita memainkan peranan untuk melandaikan lengkung kebolehjangkitan COVID-19 ini!
#kitajagakita

Nurhazlin M Musak
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Nilai

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat