KETIKA negara sedang bergelut dengan wabak COVID-19 ini, ramai rakyat terbelenggu dengan sikap mudah mempercayai maklumat palsu.
Terdapat pelbagai maklumat saya terima melalui kiriman Whatsapp. Berkaitan penawar virus, bekalan makanan tak cukup, kematian terbaru dan lain-lain.
Saya bertanya “Sahih ke?” lalu mereka menjawab;
“Saya cuma sebarkan dari group sebelah, betul ke tak saya tak tahu”
“Sekadar share, tak tahu la betul ke tak, dapat dari kawan”
“Info dari group sebelah, aku tak tahu sahih ke tak, wallahualam”
Jika anda termasuk golongan seperti ini; yang suka menyebar berita palsu atau berkongsi sesuatu maklumat dan info yang tidak pasti akan kesahihannya, harap hentikan tabiat buruk itu.
Internet dan penggunaan media sosial telah menjadi basahan hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Sekaligus menjadikan media sosial saluran utama rakyat Malaysia mendapat maklumat dengan pantas.
Maklumat palsu ini bukan perkara remeh, ia boleh menjadikan negara huru-hara dan rakyat bercelaru. Sungguh menakutkan.
Kita ambil contoh baru-baru ini, berlakunya pembelian panik. Saya yakin hal ini berlaku akibat penularan maklumat palsu yang mengatakan Malaysia dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown), maka ramailah orang yang ‘panic buying’. Ini baru contoh kecil.
Sebagai seorang Muslim, Islam menuntut umatnya supaya berhati-hati dan periksa (tabayyun) terlebih dahulu kesahihan dan ketulenan maklumat apabila menerima sesuatu berita.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
Antara punca penyebaran berita palsu;
1. Terlalu terburu-buru dalam menerima dan menyebarkan maklumat tanpa selidik kesahihannya.
2. Tidak tahu cara untuk menyaring maklumat yang benar.
3. Mudah terpengaruh dengan maklumat palsu.
Baiklah, biar saya berkongsi bagaimana cara mengatasi penyebaran maklumat palsu ini;
1. Tidak yakin sahih ke tak, jangan sebar. Setakat baca sahaja, boleh.
2. Tidak menjadi kesalahan jika anda tak sebar maklumat jika tak pasti.
3. Dapatkan maklumat dari sumber yang sahih. Contohnya dari page atau telegram Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
4. Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang masih samar kesahihanya.
Apa-apa pun, jangan benarkan ketakutan mempengaruhi keputusan rasional kita. Jika ini berlaku, harga yang perlu dibayar sangat mahal, di mana ketakutan psikologi ini lebih berbahaya berbanding serangan wabak COVID-19 itu sendiri.
Tanggungjawab kita sekarang ialah membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan juga rantaian berita palsu.
Tak pasti, jangan kongsi.
Hafiz Johar
Pengerusi Pembina Sarawak