Badan manusia dilengkapi dengan sistem imuniti/pertahanan terbaik untuk melawan pelbagai serangan luar. Sama ada bakteria, virus, parasit atau fungus.
Bagaimana?
Di dalam saluran darah manusia, ada sel-sel darah putih. Sel-sel darah putih ni tak banyak berbanding sel darah merah. Dianggarkan lebih kurang hanya 1% sahaja darah manusia adalah sel-sel darah putih. Majoritinya ialah sel darah merah, platelets (untuk hentikan pendarahan), pelbagai antibodies, electrolytes, vitamins, hormon dan beberapa elemen lain.
Sel darah putih ini ada pelbagai jenis, bergantung kepada fungsi.
Contohnya, neutrophil lawan bacteria, monocyte pula untuk lawan virus, eosinophil lawan parasit. Manakala lymphocyte pula ada “memori”, maksudnya bila ada sesuatu jangkitan baru, lymphocyte akan “ingat” bagaimana reaksi badan melawan jangkitan ini. Bila jangkitan yang sama kena sekali lagi, badan “dah tahu” bagaimana nak tangani jangkitan ini dengan lebih efektif dan cepat. Lymphocyte sel juga berfungsi sebagai imuniti badan daripada vaksin.
Bagaimana sel darah putih melawan jangkitan?
Ada sel yang buat serangan terus (seperti lymphocyte), ada sel yang perlukan mesej daripada sel-sel lain untuk bertindak seperti monocyte dan macrophage yang bertindak secara phagocytosis/makan. Ada sel yang rembes toxin untuk bunuh bacteria seperti neutrophil, dan ada juga yang rembes histamin untuk wujud satu respon sampingan badan untuk lawan jangkitan. Komplex untuk diceritakan.
Cuma anda kena faham bahawa sistem imuniti badan ini memang super efisen dan pantas untuk tangani segala macam jenis invasion/kemasukan bakteria/virus merbahaya. Bertuah sungguh kita.
Berkaitan imuniti badan atau sistem pertahanan badan ini, ada beberapa perkara yang perlu diketahui:
1. Golongan tua – bila usia semakin tua, sistem imuniti juga tidak kuat. Ini kerana kapasiti badan untuk hasilkan sel darah putih yg diperlukan untuk melawan jangkitan sudah tidak secepat pada usia muda.
Jadi bila terdapat jangkitan, warga emas biasanya akan lambat sikit untuk response kepada jangkitan seperti demam. Dan biasanya, jangkitan pada warga emas akan terus merebak menjadi teruk dengan pantas.
2. Bayi – sistem imuniti bayi baru lahir masih belum matang. Biasanya ambil masa 2-3 bulan untuk matang. Bayi mengharapkan bantuan antibodi daripada placenta untuk beberapa
minggu, kemudian drp susu ibu.
Sementara menanti sistem imuniti bayi menjadi matang untuk hasilkan sel darah putih dan antibodi, bayi mudah mendapat jangkitan dan sesetengah jangkita boleh menjadi teruk dengan cepat.
3. Imuniti rendah – sesetengah ubat terutamanya ubatan kanser, ubat untuk penyakit paru-paru (seperti seretide/symbicort spray), ubat untuk penyakit immune sistem seperti lupus, rheumatoid arthritis & gout, boleh menurunkan imuniti.
Ubat-ubat ini penting untuk kawal penyakit yang lain, tetapi kesan sampingannya menyebabkan imuniti rendah dan mudah mendapat jangkitan.
Setengah penyakit juga boleh menurunkan imuniti seperti HIV, AIDS, leukemia, atau cancer tulang seperti myeloma.
Jadi, golongan diatas tidak digalakkan untuk mendekati mereka yang disyaki membawa virus atau punyai simpton-simptom penyakit.
Bagaimanakah untuk kuatkan imuniti badan?
Senaman dan tidur yang cukup dikatakan dapat menguatkan imuniti badan mengikut beberapa kajian.
Ada juga kajian mengatakan vitamin C, halia, bawang putih dan kunyit dapat kuatkan imuniti tapi saya kurang yakin sikit dengan amalan ini.
Walau bagaimanapun, menjaga kesihatan kita ketika ini amatlah penting. Basuh tangan, tutup mulut jika batuk, dan tinggal di rumah jika sakit.
Bagi yang sudah tua, ada bayi, ada penyakit atau ambil ubat lawan imuniti, saya sarankan supaya tinggal sahaja dirumah ketika waktu getir sebegini.
Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Sekian.
Dr Shaiful Aizad
13/3/20
Sydney Australia