Covid 19- Peluang bina hubungan akrab antara guru dan ibu bapa

Kita telah melepasi 14 hari tempoh PKP dan sekarang memasuki fasa kedua. Semua pihak akur dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan agar sentiasa kekal berada di rumah bagi mengelakkan penularan wabak pendemik Covid 19. Kerjasama dan sokongan semua pihak tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit dapat mengekang virus ini sekaligus mempercepatkan proses untuk keluar dari tempoh kawalan ini.

Namun aspek yang lebih penting selain pematuhan dan disiplin semua pihak ialah ketahanan mental dan spiritual untuk bersedia menangani segala perkara yang muncul dan tidak terjangka.

Bagi ibubapa yang berada di rumah usahlah bimbang dengan anak-anak yang tidak dapat pergi ke sekolah. Ibu bapa bolehlah memanfaatkan ruang masa yang ada dengan memastikan anak-anak berterusan mengulangkaji pelajaran secara online atau maya. Anak-anak yang berada di rumah perlulah diajar menggunakan aplikasi pembelajaran dengan betul supaya masa mereka tidak terbuang.

Sebagai contoh ibu bapa perlu menyediakan gajet yang bersesuaian seperti telefon pintar, ipad atau laptop untuk kemudahan anak-anak belajar secara online. Anak-anak perlu diajar menggunakan aplikasi Google Classroom,edu-webtv, cikgootube secara mahir di samping permainan pembelajaran seperti Kahoots, Quizizz dan sebagainya.

Manakala bagi anak-anak yang jauh dari kemudahan tersebut, berkemungkinan wakil pengurusan kampung boleh menjadikan dewan ramai atau tadika untuk mendapatkan akses internet berkualiti. Anak-anak dari keluarga yang tiada kemampuan boleh hadir untuk tempoh tertentu dengan kadar bilangan tertentu supaya segala kerja dan tugasan yang diberikan guru dapat diselesaikan dan proses pembelajaran dapat dilaksanakan.

Aspek yang penting lagi ialah pemantauan kerap dari ibubapa supaya tiada berlaku penyalahgunaan gajet. Meskipun tugas ibubapa berbincang dengan guru berkaitan tugasan kerja sekolah melalui sarana ibubapa dan sebagainya,membendung gejala pornografi amat-amat penting terutama dalam tempoh masa PKP ini.

Guru-guru meskipun berada di rumah, mereka hendaklah merancang aktiviti pembelajaran untuk murid-murid secara sistematik, menyediakan bahan pembelajaran berasaskan pembelajaran abad 21 dan berusaha memudahkan capaian ilmu kepada murid-murid yang jauh dari kemudahan internet samada secara e-mail atau sms.

Masa PKP ini juga sewajarnya ruang komunikasi antara guru dan ibubapa semakin akrab dan efektif. Hubungan guru dengan ibubapa bukan terhenti dari sudut melihat perkembangan akademik anak-anak di rumah tetapi mengambil tahu perihal anak-anak murid kita dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi mereka.

Dari sini kita dapat mengenalpasti ada dari kalangan murid-murid kita amat-amat memerlukan bantuan keperluan makanan akibat ibubapa mereka yang terjejas ekonomi. Berkemungkinan faktor ini menjadikan anak-anak murid tersebut tidak dapat mengikuti pembelajaran secara online dengan baik.

  • Guru menyarankan agar pihak sekolah atau PIBG mengenalpasti keluarga yang memerlukan bantuan dan berusaha membantu apa yang termampu terutama dalam memastikan kehidupan mereka tidak terjejas dan soal kelangsungan pendidikan mereka dapat diteruskan.

Inilah masa terbaik mengeratkan hubungan intim antara guru dan ibubapa yang tidak terhad pada soal kognitif semata-mata tetapi ia merangkumi aspek tanggungjawab sosial dan sifat kemanusiaan. Secara tidak langsung matlamat dan falsafah pendidikan untuk melahirkan insan seimbang tercapai melalui pendidikan di luar waktu rasmi. Hadirnya Covid 19 bukan sekadar  menjadikan guru kreatif dan inovatif tetapi membina sifat manusiawi dan cakna kepada orang lain yang memerlukan ihsan dan bantuan.

Mohd Azizee bin Hasan

Presiden i-Guru (Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat