SAYA tertarik untuk mengungkap semula kata-kata Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyidin Yassin dalam perutusan beliau pada hari Jumaat 10 April 2020. Beliau berkata; “Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi.”
Saya hendak mencadangkan beberapa kebiasaan baru yang perlu kita lalui demi membina negara yang lebih kuat dan bersatu padu.
1. Kebiasaan Politik yang Baru
Politik kita telah terlalu banyak memecahbelahkan rakyat, menanam kebencian dan menghasut supaya tidak percaya apa jua yang datang dari kerajaan. Politik pembangkang dan kerajaan sentiasa bertembung dalam segenap isu kita melihat seolah-olah setiap perkara perlu dipolitikkan untuk mendapat ‘milage’ tanpa melihat kesan kepada rakyat. Inilah yang kita hadapi walaupun dalam keadaan negara berhadapan denga krisis pada skala yang tidak pernah kita lihat dalam hayat kita.
Kebiasaan baharu dalam berpolitik ialah di mana kita melihat isu berdasarkan apa kesan terhadap negara keseluruhannya, di luar sempadan politik. Rakyat Malaysia perlu kembali mencari titik perpaduan, tunjang dan asas kenegaraan. Nilai-nilai yang kita sepakati seperti Rukun Negara perlu diperkasakan semula. Bahasa kebangsaan dan identiti kebangsaan (satu identiti yang dikongsi bersama) juga adalah titik penyatuan.
2. Sistem Pendidikan yang membawa kepada integrasi sebenar
Perpaduan dan integrasi sebenar perlu dibina dari awal usia dan sistem pendidikan sedia ada dengan memisahkan murid berasaskan bangsa di sekolah tidak sepatutnya di teruskan. Kewujudan sekolah berasaskan kaum daripada peringkat rendah dan menengah, seterusnya dengan kewujudan IPTS yang tidak menyemai dan menekankan semangat kebangsaan sepatutnya tidaklah dibiarkan begitu sahaja.
Pengiktirafan UEC adalah kemuncak kepada pengiktirafan sistem yang terpisah ini. Sebelum ini SPM menjadi satu peluang terakhir untuk mencari titik penyatuan. Apabila UEC di iktiraf, tiada lagi keperluan kepada SPM. Apa lagi titik penyatuan yang tinggal? Kita perlu membina kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan kita
3. Penyatuan melalui Bahasa Kebangsaan
Saya teringat kata-kata seorang rakan berbangsa Cina ketika kami sama-sama baru memulakan pengajian di Australia pada tahun 2000. Dia berkata “Semenjak tiba di Australia, kami lebih banyak berbahasa Melayu, kerana ia memberi satu identiti yang membezakan kami Cina dari Malaysia, dengan orang Cina dari Taiwan, Indonesia, Hong Kong dan Cina Tanah Besar. Kami bangga memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia.” Malaysia pada masa itu sangat menonjol sebagai kuasa baharu dunia ketiga, dengan kejayaan penganjuran SUKOM 1998, menjadi suara kepada negara-negara berkecuali dan negara Islam dan juga antara negara yang mampu menangani krisis ekonomi Asia 1997-98 dengan cara tersendiri tanpa bergantung kepada pinjaman daripada luar. Identiti, kejayaan dan kebanggaan yang dikongsi bersama ini adalah sangat membantu memberi nilai jati diri dan mengukuhkan perpaduan.
Rakyat Malaysia perlu menggunakan keadaan semasa untuk bangkit sebagai satu bangsa yang bersatu atas nilai bersama. COVID-19 telah banyak merobohkan benteng perkauman dan benteng politik yang sebelum ini di bina utk manfaat politik kelompok tertentu.
4. Kebangkitan Ekonomi Asas ke arah Membina Kemampuan Berdikari
Kebiasaan kita dalam ekonomi adalah mengharapkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan menjadikan eksport sebagai sumber utama pendapatan negara. Kita melihat bagaimana kita sangat bergantung kepada import daripada luar dalam memenuhi keperluan makanan kita. Kebiasaan baharu yang kita perlu bina dalam sistem ekonomi kita adalah untuk membina kapasiti supaya kita mampu berdikari, sekurang-kurangnya dalam memenuhi keperluan makanan tempatan. Isu keselamatan makanan, tenaga dan air akan menjadi isu besar masa hadapan. Persediaan dan pembangunan kapasiti dan kemampuan tempatan dalam ketiga-tiga isu ini perlu diberi perhatian.
Semoga kita mampu membangunkan negara yang lebih utuh dari segi perpaduan dan mampu bertahan dalam apa jua krisis masa akan datang. Kebiasaan lalu perlu diubah. Kita tidak ada pilihan lain.
Haji Zaizul Azizi Zaman
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)