Satu dunia kini menghadapi masalah jangkitan virus penyakit saluran pernafasan (Coronavirus Disease 2019-COVID-19) bawaan virus Corona n-CoV. Virus ini mula dikesan di Wilayah Wuhan, China pada sekitar penghujung tahun 2019 yang lalu. Hingga kini, (25 Mac 2020, Jam 10.14pm) virus ini telah menjangkiti 439,941 orang dan telah meragut 19,744 nyawa manusia di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam global pada 30 Januari 2020 bagi menangani wabak ini.
Negara kita Malaysia turut tidak terlepas dari menghadapi masalah virus ini. Sejak 18 mac 2020 yang lalu hingga 14 April 2020, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi memutuskan rantaian jangkitan virus ini. Langkah ini penting dalam memastikan rakyat Malaysia selamat dari penyakit bawaan virus ini. Hingga kini (25 Mac 2020, Jam 5.00PM) Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 ini di Malaysia adalah seramai 1,796 pesakit dan seramai 19 orang telah meninggal dunia.
Suka penulis kongsikan di sini adalah Virus corona ini sebenarnya dari haiwan. Virus ini bersifat zoonotic dan boleh menjangkiti manusia. Masalah yang timbul kini adalah orang yang telah dijangkiti, boleh menjangkiti orang lain. (human-to-human).
Hasil bacaan penulis mendapati Virus Corona ini, mula dikesan menjangkiti manusia sejak pertengahan 1960-an lagi. Terdapat 7 spesis virus ini yang boleh mengangkiti manusia. Namun, hanya 3 sepsis yang terkenal kerana mampu berjangkit kepada manusia kepada manusia adalah:
- SARS-CoV (Virus Corona Beta yang menyebabkan Sindrom Pernafsan Akut yang Teruk-SARS)
- MERS-CoV (Virus Corona Beta yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-MERS)
- SARS-CoV-2 ( Virus Corona yang menyebabkan COVID-19)
Apabila berbicara mengenai SARS-CoV-2 ini, kajian genom mendapati Virus Corona ini mempunyai persamaan hampir 85% dengan genom virus corona yang telah dijumpai pada kelawar. Pelik bukan bagaimana virus dari kelawar boleh menjangkiti manusia sekiranya manusia tidak mempunyai hubungan dengan haiwan tersebut?
Itulah yang berlaku. Ada kebarangkalian manusia telah memakan kelawar yang telah dijangkiti sebagai makanan ekszotik. Di sini penulis ingin bawakan ayat al-Quran dari surah al-Baqarah; Ayat 168:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Ingin penulis bawakan hati kita semua untuk kembali kepada al-Quran sebagai pedoman kita. Percayalah penyelesaian kepada kemelut ini adalah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bukan sahaja untuk kebaikan umat islam tetapi juga boleh dirasai oleh semua manusia. Kerana itu, Islam adalah rahmatan lil alamin. Dalam kes ini, kita patut mengalakkan pemakanan yang halal lagi baik dan pada masa yang sama makanan dari sumber yang merbahaya dan meragukan seperti makanan ekszotik seperti ular, kelawar dan pelbagai lagi binatang buas yang lain perlu dicegah dari awal.
Sebagai penutup, penulis menyeru agar semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan dengan duduk di rumah dan hanya keluar jika keadaan memerlukan. Ketika duduk di rumah amalkan pemakanan yang halal, sihat dan baik agar kita dapat meneruskan kehidupan kita dengan lebih baik lagi selepas wabak ini berakhir. Percayalah ini hanyalah gerhana, bukan terbenamnya matahari. Bersabarlah sedikit masa, demi kesejahteraan kita bersama di masa depan.
Wan Mohd Amir,
Pelajar Halal sepanjang masa
Bacaan:
- Al-Quran
- https://www.cdc.gov/coronavirus/types.html
- https://jheains.sabah.gov.my/index.php/perkhidmatan/khutbah-jumaat?layout=edit&id=129
- https://www.thelancet.com/journals/lanplh/article/PIIS2542-5196(20)30032-2/fulltext
- https://www.worldometers.info/coronavirus/