Betapa ramai yang sedang gusar dan panik dengan peningkatan kes Covid-19 yang begitu mendadak beberapa hari ini. Waktu-waktu beginilah pentingnya setiap orang untuk bertindak dengan penuh kebijaksanaan dan bukan hanya mengikut kata orang dan khabar angin semata-mata.
Tindakan di luar kawalan umpama ‘panic buying‘, berkongsi berita palsu hanya menambahkan lagi kekhuatiran diri sendiri dan orang ramai.
Sekarang adalah fasa bertenang dan semua pihak perlu mematuhi langkah keselamatan yang telah digariskan oleh Pihak Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa.
Masa getir sebegini adalah waktu yang sangat sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memuhasabah diri. Dalam tempoh inilah dapat dilihat sejauh mana kebergantungan seseorang kepada Allah, dalam masa yang sama langkah berjaga-jaga dan usaha untuk mencegah adalah seiring. Dengan kata lain, semua pihak berusaha menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Letaklah keyakinan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah at-Talaq ayat 3, “…Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Peganglah ayat Allah itu, sehingga ayat itu mampu memberi ketenangan kepada hati. Dan, jadikanlah ayat ke 44 daripada surah Al-Ghaafir sebagai doa. “Aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah untuk memeliharaku. Sesungguhnya Allah maha melihat akan keadaan hamba-Nya.“
Sebagai usaha mencegah, boleh amalkan:
1) Jarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter dari individu yang mempunyai gejala demam, selesema dan batuk.
2) Kerap basuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer.
3) Pakai penutup mulut dan hidung (mask) seandainya berkunjung ke tempat tumpuan ramai.
Akhir kalam, benar lah kata hukama sesungguhnya tali yang paling kuat dan utuh sebagai tempat pergantungan adalah pada tali pergantungan terhadap Allah S.W.T.
Oleh Nurul Suhaida Ibrahim
Aktivis Isma Seberang Perai Utara