Cukup-cukuplah menyeru seruan bodoh sombong seperti “Ritual agama berlebihan jejas prestasi murid”
Saidina Abu Bakr pernah berkata; “Jika tali untaku hilang, aku akan peroleh jawapannya dari kitab Allah!” Orang yang tidak memahami akan menolak mentah kenyataan ini, namun bagi yang memahami, mereka amat mengerti bahawa segala kekusutan yang berlaku, pasti ada penyelesaiannya dari kitab Allah.
Jadi, COVID-19 bagaimana?
Jika Saidina Abu Bakr masih hidup, tentu sekali beliau bakal berkata yang sama; “Aku akan temui solusinya dari Kitab Allah”.
Begitu hebatkah Al-Quran? Bahkan! Kerana Al-Quran bukan hanya untuk dihafal dan dibaca kering semata-mata, tetapi ia adalah untuk ditadabbur dan dikaji, lantas menjadi manual panduan untuk memandu seluruh kehidupan manusia.
Ini amat bergantung kepada sejauh manakah keyakinan dan keimanan kita kepada Allah dan Al-Quran.
Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum,
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Ar-Rum, Ayat 41.
Jelas sekali, musibah atau bencana apapun (Covid-19 sebagai contoh) adalah peringatan Tuhan bahawa manusia telah lari jauh dari kehidupan beragama yang dikehenaki Tuhan.
Disuruh kita berkeluarga dan beranak pinak secara halal, manusia mengindustrikan seks dan kelucahan terbuka.
Disuruh kita meninggalkan perbuatan luar tabii, LGBT dipertahankan dan dilegalisasikan atas alasan hak asasi manusia untuk manusia berhubungan sesama jenis yang menjijikkan.
Disuruh berlaku amanah dan adil dalam pentadbiran, rasuah dan penyelewengan berselerak di mana-mana, dari peringkat tertinggi hingga ke pegawai bawah.
Di negara tercinta ini, disuruh amanah dengan perjanjian dan berperlembagaan, sebahagian berlaku khianat dan bergerak licik untuk mengubah identiti Malaysia menjadi republik berasaskan Kristian evangelis dengan sokongan terhadap usaha Kristianisasi, padahal tahu bahawa agama bagi negara ini adalah Islam. Malangnya, usaha jahat, baik didiamkan, disokong atau dipertahankan pula oleh khadam-khadam mereka yang bernama Islam.
Justeru Covid-19 ini mengajak kita semua khususnya umat Islam untuk kembali kepada agamanya. Dari pemimpin, menteri, mufti dan rakyat seluruhnya.
Janganlah lagi sombong dan angkuh mengatakan ritual agama berlebihan melemahkan pelajar. Ini sememangnya kata-kata seorang yang jahil dan bodoh sombong!
Wahai umat Islam, wahai diri dan saudara-saudaraku, ingatlah kita kepada kata-kata Saidina Umar Al-Khattab:
“Kita adalah satu umat yang dimuliakan Allah dengan Islam, namum jika kamu meninggalkan Islam, nescaya kita akan dihinakan oleh Allah”
Semoga Allah mengurniakan kita semua dengan taufiq dan hidayah.
Hj Omar Kassim
JKP Isma
13 Mac 2020